KEADILAN Kemaman hari ini menyambut baik keputusan Mahkamah Pilihanraya yang membatalkan kemenangan Pas di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang lalu.
Menurut Pengerusi Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, keputusan mahkamah itu membuktikan Pas telah melakukan rasuah pada PRU 15.
“Keputusan ini juga menjadi pembakar semangat kepada seluruh kepimpinan dan ahli KEADILAN Kemaman untuk bekerja lebih keras bagi melawan segala bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan yang dilakukan oleh Pas terutama di daerah Kemaman dan Negeri Terengganu
“Justeru itu, KEADILAN Kemaman ingin mengajak seluruh warga Kemaman menolak Pas yang terbukti telah melakukan rasuah dan salahguna kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Nadhir lagi, budaya rasuah tidak boleh mendapat tempat di dalam masyarakat Malaysia dan harus dihapuskan sehingga ke akar umbi.
Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
Hakim Mahkamah Pilihanraya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihanraya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.
Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15. – Suara Keadilan