Tindakan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor memperlekehkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah olah ‘meludah ke langit terkena muka sendiri’.
Bagi Pengarah Biro Pekerja KEADILAN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, MB Sanusi bercakap syok sendiri apabila memperlekeh PM bercakap di Pertubuhan Banga bangsa Bersatu dan isu kemiskinan yang dia sendiri pun tidak ada idea untuk menyelesaikannya.
“Saya tak faham Sanusi ini. Kau buat saja kerja kau. Yang kau perlekehkan orang, hebat sangatkah kau ni? Sekarang Kedah banjir, pergi kat Pelangai macam macam kau maki orang. Cakap semua merapu. Tak masuk langsung dalam memperkasakan agenda ekonomi negeri atau negara
“Inilah yang menyebabkan banyak perkara haru biru terjadi sekarang ini. Sebab melontarkan propaganda, persepsi negatif yang bukan bukan,” katanya dalam program “Borak Dahsyat: Perjuangan Suci Atau Sia sia?” malam tadi.
Menurut Pengerusi TEKUN itu, tindakan Sanusi menjadikan politik Malaysia semakin buruk kerana mereka hanya memperbodohkan rakyat demi mendapatkan sokongan.
“Dia lakukan cara itu untuk memperbodohkan rakyat demi meraih sokongan. Ini yang berlaku.
“Kita nak cakap kepada dia, di Kedah itu apa yang dia buat menokhtahkan kemiskinan? Dok kalut dengan orang punya dasar, kau punya dasar itu apa?” tanyanya.
Abdullah Sani risau dengan mentaliti pemimpin pembangkang di negara ini. Beliau membawa contoh baru baru ini seorang Ahli Parlimen di Kelatan menggesa Kementerian Pendidikan menyelesaikan isu air kotor di sekolah di negeri itu. Sedangkan beliau mengetahui air yang dibekalkan ke sekolah adalah dari paip Kerajaan Negeri dari partinya sendiri dan sepatutnya menyalahkan kerajaan Kelantan.
Begitu juga Ahli Parlimen PN yang membantah siaran langsung sidang parlimen kerana khuatir rahsia negara akan bocor, sedangkan banyak negara maju di dunia membuat siaran langsung sidang parlimen di media sosial.
Oleh itu, Abdullah Sani mahu Ahli Parlimen pembangkang mencontohi Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.
“Saya zaman pembangkang banyak yang berjaya saya perjuangkan. Berjaya memperjuangkan usia persaraan, skim insurans pekerja lebih 600,000 orang dapat ketika pandemik Covid 19.
“10 tahun sejak 2008 saya bahas, begitu juga perkara yang melibatkan cuti bersalin, suami dapat 7 hari.
“Saya dulu pernah jadi timbalan presiden MUTUC, gaji minimum saya bercakap dan dapat bermula 2012 dengan RM900.
“Saya pembangkang, mengapa saya bawa? Itu kepentingan rayat. Mengapa saya bawa tuntutan untuk kepentingan rakyat? Itu sepatutnya tugas Ahli Parlimen,” katanya lagi.