Pembangkang PN yang menyalahkan Kerajaan Perpaduan kononnya gagal menangani krisis harga dan bekalan beras seolah olah tidak faham isu bahawa negara pengeluar beras sama ada menghenti atau mengurangkan eksport komoditi itu ke negara pengguna.
Bagi mantan Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin, tuntutan pembangkang untuk menyelesaikan segera krisis beras tidak mungkin boleh dilakukan tanpa meminta negara pengeluar mengeksport.
Sebaliknya, Tze Tzin mahu pemimpin PN mencermin diri sewaktu pentadbiran mereka berlaku krisis bekalan telur ayam, malah PN katanya gagal mengimport telur biar pun tidak berlaku kekurangan telur di peringkat antarabangsa.
“Saya nak bagi nasihat kepada pembangkang untuk melihat dahulu kegagalan mereka menyelesaikan isu kenaikan harga barang semasa mereka menjadi kerajaan.
“Sewaktu menjadi kerajaan (PN) nak selesaikan harga minyak sawit pun mereka gagal nak control, walaupun minyak itu dihasilkan di Malaysia.
“Tidak termasuk dengan kenaikan harga sayur, telur dan barang lain. Ia berlaku atas sebab dasar yang tidak menyeluruh. Sebab itu mereka (PN) dipanggil kerajaan gagal (waktu itu),” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Bayan Baru berkenaan yakin langkah Kerajaan Perpaduan melakukan intervensi pasaran boleh melegakan rakyat dalam jangka bendek.
“Kerajaan ketika ini membuat pelbagai langkah drastik dan boleh menyelesaikan masalah beras di pasaran dalam tempoh sebulan ini.
“Berbanding dengan situasi dahulu (isu kenaikan harga barang) kerajaan MADANI jauh lebih prihatin berbanding pentadbiran Muhyiddin,” ujarnya lagi.
Untuk langkah jangka pendek, pada 18 September lalu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bahawa bekalan beras putih tempatan di pasaran dijangka kembali stabil dalam masa sebulan.
Jelas kementerian itu, langkah intervensi dan pemantauan berterusan telah dilakukan termasuk pelaksanaan Program Khas BPT yang menyaksikan pengilang diminta meningkatkan 20 peratus bekalan beras putih tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek bekalan makanan ruji itu.
Langkah itu dibuat susulan daripada tindakan India menghentikan eksport berasnya ke luar negara, ekoran musim kemarau tidak menentu di negara itu. India merupakan pengeluar beras terbesar dunia. Selain itu Vietnam yang juga negara pengeluar beras turut mengurnagkan eksport atas faktor cuaca tidak menentu.