Pembangkang PN yang menyalahkan kerajaan kononnya gagal mengawal harga barang tidak membaca perkembangan politik antarbangsa.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga beras tidak pernah diberitahu kepada rakyat bahawa negara India telah menaikkan harga bahan mentah berkenaan dan hanya menumpukan kesalahan kepada Kerajaan Madani.
Kerajaan katanya, telah memberi subsidi ke atas beras dalam jumlah besar manakala untuk pengendali makanan sektor kerajaan diberi beras import bersubsidi.
“Maknanya 5% daripada kegunaan beras tempatan telah diselamatkan kerana 5% itu kita ambil beras import untuk kegunaan polis, tentera, asrama penuh, kita guna beras import bersubsidi dan beras tempatan diedarkan kepada rakyat.
“Ada kelembapan, LPP dan FAMA ditugaskan untuk hantar barang. Simpanan stok kita cukup.
“Saya kata beri seminggu tengok, sama ada selesai atau tidak. Kalau tak cukup kita mesyuarat lagi,” katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di DUN Pelangai, malam tadi. .
Bagi harga bawang pula, menurut Anwar hal itu di luar kemampuan kerajaan untuk mengawal harga apabila India menaikkan cukai eksport.
“Bawang, PM Modi India akan naikkan cukai eksport 40%. Datang Pelangai (pembangkang) maki kita tak jaga harga bawang. dia tak baca India akhir Ogos naikkan cukai eksport? Tentunya harga naik. Sebab itu kita tambah subsidi RM300 juta.
“Kena fikir Pelangai penting, Sabah, Sarawak juga penting. Harga beras RM41 kerana beras tempatan tak dibawa ke sana. Sabah Sarawak tidak boleh dibiarkan. Oleh itu saya beri jaminan tambah subsidi supaya Sabah dan Sarawak kita jual RM31,” katanya.
Sebelum itu, PM berkata Malaysia hanya akan berjaya sekiranya diuruskan oleh pemimpin yang baik dan mengikut undang undang serta akauntabiliti.
Selepas berjaya dalam tatakelola, katanya, baharulah pembelaan ke atas mana mana bangsa boleh dilakukan.
“Negara kaya seperti mana pun, balaknya, sahamnya, kelapa sawit, hartanya tidak mungkin dapat menyelamatkan bangsa dan negara jika tidak diurus dengan baik.
“Kamu mainkanlah istilah (sindiran) ini tetapi saya nak beritahu, saya dan rakan bertekad kita akan bersihkan kerajaan ini dan tidak akan komproni dengan sesiapa yang salahguna kuasa di negara ini
“Saya bercakap hari ini dengan yakin kerana kita yakin tidak ada jalan keluar yang mudah. Nak tolong orang Melayu, Orang Asli, masyarakat Cina dan India, hanya dengan kekuatan dasar yang jelas, dengan pimpinan jaga tatakelola dan ada program bela nasib rakyat. Barulah akan berjaya,” katanya lagi.