Calon BN Datuk Amizar Abu Adam optimis mempertahankan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai biar pun menghadapi saingan sengit daripada PN.
Beliau yang merupakan calon nombor tiga itu berkata, sepanjang tempoh 10 hari berkempen rata-rata masyarakat memberi respon yang positif kepadanya, sekali gus memberi kelebihan buat calon anak Felda itu.
“Rata-rata masyarakat Pelangai meletakkan sepenuh harapan dan sokongan terhadap parti yang sememangnya terbukti menjaga kebajikan rakyat.
“Bertemu mata ke mata ini lebih saya gemari kerana saya dapat datang, dengar dan lihat sendiri keadaan kehidupan masyarakat di sini.
“Ini kerana saya yakin, sekiranya saya bersama mereka, barulah saya layak untuk dipilih menjadi pemimpin (wakil rakyat) mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong memberi jaminan untuk terus memberi khidmat dan menyantuni warga Pelangai sebagai anak jati di kawasan itu.
“Perkara ini saya akan buat bukan sahaja pada waktu ini, tetapi selagi hayat dikandung badan saya.
“Inilah amalan yang akan saya buat untuk penduduk di Pelangai seluruhnya tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang politik,” ujarnya lagi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, Ogos lepas.