Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kesal terhadap Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengambil sikap berdiam diri berikutan pendedahan tanah seluas 511.43 ekar berhampiran dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Batu Gajah yang dimiliki oleh Syarikat Maju Perak dan masih tidak terjawab sehingga kini
Menurut Salman Hj Salleh Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendesak agar Datuk Seri Zambry menjelaskan kedudukan status tanah yang didakwa telah dijual dengan kadar rendah serta tidak mengikut harga pasaran semasa.
“Kita semua maklum bahawa kedudukan tanah yang didakwa tersebut amat strategik daripada segi lokasinya dan sehingga kini yang masih tidak dibangunkan menjadi tanda tanya umum.
“Kami merasakan amat pelik kerana Datuk Seri Zambry sehingga kini masih tidak menjawab persoalan besar yang dibimbangi satu penjualan yang secara langsung merugikan Kerajaan Negeri Perak.
“Ini kerana Syarikat Maju Perak adalah anak syarikat kepada kerajaan negeri. Sebarang kurniaan tanah kepada anak syarikat kerajaan negeri bukanlah lesen untuk menjualnya dengan begitu mudah sahaja,” katanya.
Beliau juga meminta Satu Jawatankuasa Khas dibentuk yang bukannya atas pengendalian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri berikutan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar didakwa secara langsung terlibat.