Kesabaran peneroka mempunyai hadnya. Perbuatan pentadbiran Najib Razak menipu mereka dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad menaikkan amarah peneroka.
Penyenaraian itu akan menyebabkan Felda kekurangan separuh daripada pendapatan dan bakal memberi impak kebajikan peneroka dipotong secara radikal.
Lebih 10,000 peneroka dari seluruh negara hari ini menyatakan bantahan terbuka terhadap penganiayaan yang dilakukan kepada mereka dalam Himpunan Oren Selamatkan Felda.
Himpunan itu bermula pada jam 2.10 petang di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta seusai peneroka menyempurnakan solat Zuhur dan solat sunat hajat.
Himpunan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Hj Mohammad Sabu dan dianjurkan oleh gabungan NGO menentang penyenaraian seperti ANAK, BAPA, ABIM, Teras Pengupayaan Melayu, badan bertindak peneroka, PKPIM , Paksi dan SMM.
Demonstran berarak ke arah Istana Negara Jalan Duta sebaik sahaja Pengerusi ANAK Mazlan Aliman menjamin pihak polis memberi kebenaran berarak dalam pertemuan 2 jam pada hari sebelumnya.
Demonstran yang berarak melaungkan ungkapan; ‘Hancur Najib, Hancur Isa, Hancur Ahmad Mazlan’. Pelbagai banner mengecam penyenaraian yang direntang sepanjang perarakan itu.
Demonstran terhenti 3 kilometer dari Masjid Wilayah Persekutuan akibat sekatan polis. Laluan ke Istana Negara ditutup. Bagaimanapun, di atas persetujuan awal, 8 wakil dibenar bertemu dan mengadap Yang Dipertuan Agong.
Demonstran terus meneriakkan hancur Najib dan Isa. Pentas bergerak, sebuah lori 1 tan dijadikan tempat memberi ucapan para tokoh-tokoh politik Pakatan Rakyat. Mazlan Aliman berucap mengatakan peneroka telah terlalu lama bersabar. Katanya, pihak ANAK telah mohon berunding dengan kerajaan BN tetapi tidak dilayan sama sekali.
“Sudah 8 bulan kita mahu berunding dengan kerajaan tetapi mereka tidak peka dan tidak mahu mendengar masalah peneroka,” katanya.
Mazlan juga mengumumkan keceluparan Najib menggelar peneroka yang menentang poenyenaraian sebagai haram jadah akan menerima akibatnya. Beliau menegaskan pasukan peguam ANAK sedang menyiapkan saman tuntutan ganti rugi ke atas Najib.
“Peguam-peguam kita sedang menyiapkan saman ke atas Najib. Najib akan disaman sebanyak RM80 juta kerana menghina peneroka yang memohon injunksi menghalang KPF dimasukkan dalam penyenaraian sebagai ‘Haram jadah’
“Beliau akan menjadi Perdana Menteri pertama disaman. Selain itu juga kita akan menyaman Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana membenarkan penyenaraian FGVH,” katanya.
Wakil peneroka Felda Negeri Sembilan R Thangam memberi ucapan mengecam penyenaraian yang merugikan peneroka
“Kita lihat Felda LB Jonhson dan Labu Sendayan. Apa jadi kepada mereka? Hancur. Tanah Melayu dijual. Rizab Melayu dijual. 90 peratus peneroka Felda adalah orang Melayu
“Kalau peneroka tak pertahan hak maka akan habis. Peneroka akan dijual. Saya mahu sampaikan mesej kepada orang 5 kaki 2 inci (Isa) bahawa dia mesti letak jawatan segera,” laungnya disambut gelak ketawa demonstran.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyeru semua peneroka menolak BN agar penyenaraian boleh dikentikan. Selagi BN berkuasa maka Felda akan terus dijadikan mangsa
“Suara peneroka suara keramat. Suara rakyat suara yang boleh jatuhkan kerajaan secara demokrasi. Peneroka perlu Felda beri undi kepada kerajaan yang akan membela mereka.
“Rakyat akan bangun dan beri mandat kepada kerajaan baru yang akan ambil alih Putrajaya,” katanya.
Pengerusi SMM Badrul Hisham Shaharin memulakan ucapan dengan memberi amaran kepada BN, Felda bukan lagi kubu kebal buat mereka.
“Felda bukan lagi fix deposit BN. Kawasan BN di Felda, mereka akan kalah. Ini persoalan kemerdekaan rakyat
“Kita ucap terima kasih kepada Tun Razak kerana membuat Felda, tetapi bapa buat Felda anak (Najib) gadai Felda,” sinisnya.
Chegu Bard menambah gerakan popular yang menjatuhkan kerajaan seperti buruh dan petani akan sekali lagi mengambil tempat di Malaysia menjatuhkan rejim bangsawan BN.
“Seluruh dunia saksikan kejatuhan rejim dimulakan dengan penentangan gerakan tani. Hari ini peneroka bangkit. Ini bukan persoalan parti politik tetapi masa depan rakyat terutama orang Melayu (yang ditindas) di dalam Felda.
“Hanya selepas jatuhnya rejim zalim, barulah suara peneroka Felda boleh didengar,” tegasnya.
Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu mengaku beliau ‘menghasut’ peneroka menentang kerajaan. Dengan nada lucu beliau menyeru rakyat mendengar hasutan itu untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya.
“Kami memang menghasut peneroka supaya berjuang untuk diri mereka, keluarga dan tanah air
“Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang DiPertuan Agong pelindung orang Melayu. Agong berhak campurtangan menolong orang Melayu. Sebab itu kita hantar memorandum kepada Agong,” katanya.
Mat Sabu memberi amaran peneroka akan menghadapi kehidupan yang lebih sukar dalam beberapa bulan akan datang berikutan pengurangan pendapatan Felda akibat penyenaraian.
Himpunan dikejutkan dengan kehadiran anak kepada tokoh besar Umno Tun Ghafar Baba, iaitu Thamrin. Beliau merupakan wakil Umno yang turut serta berdemo dan disenarai untuk menghadap serta menghantar memorandum kepada Agong. Beliau berkata, hanya ada satu cara untuk selamatkan Felda iaitu tumbangkan BN.
“Tun Razak beri tanah tapi anak dia jual. Hanya ada satu cara selamatkan Felda iaitu pengurusan Felda mesti dilantik dari kalangan anak Felda (bukan orang luar),” katanya.
Rombongan wakil peneroka bertolak menyerahkan memorandum kepada yang DiPertuan Agong diiringi polis serta diterima oleh wakil Agong. Penerimaan menghadap ini satu kemenangan moral kepada peneroka kerana sejak dari awal lagi wakil Agong telah duduk bersama berbincang dengan pihak polis serta penganjur demonstrasi. Polis tidak mampu untuk menghalang demonstrasi kerana Agong telah memberi lampu hijau untuk menerima memorandum tersebut. Ini merupakan satu tamparan hebat buat Najib.
Sementara itu, ucapan diteruskan dengan beberapa lagi pemimpin seperti Nizar Jamaluddin, Shamsul Iskandar dan pemimpin muda PAS.
Rombongan menghadap Agong kembali setengah jam kemudian. Mereka berjaya menyerahkan memorandum. Mohamad Sabu yang mengetuai rombongan itu mengumumkan 6 orang dibenarkan menghadap dan hasrat rakyat untuk mengadu kepada Agong telah tercapai.
Himpunan itu ditutup dengan teriakkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak 3 kali dan takbir.