Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan (AMANAH-WP) mengutuk keras tindakan pihak yang menghantar ugutan bunuh kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya menentang keras ugutan tersebut dan hal seperti itu tidak sepatutnya terjadi kepada ahli politik di negara ini.
“Kami memandang serius dan mengutuk keras perbuatan jahat serta tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membuat ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok,” kata Khalid dalam satu kenyataan.
Terdahulu Teresa Kok dilaporkan menerima sepucuk surat ugutan bunuh yang dihantar bersama dua butir peluru.
Menerusi hantaran di Facebook, Teresa berkata, dia menyedari surat berkenaan ketika memeriksa peti surat sejurus pulang ke kediamannya.
Beliau kemudian menyedari satu sampul yang mengandungi benda agak keras sebelum mendapati ia adalah peluru.
Ahli Parlimen DAP itu turut menerima satu nota yang bertulis tangan dengan bahasa kesat dan bersifat perkauman.
Dalam pada itu Khalid berkata, beberapa insiden keganasan membabitkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dan cubaan menceroboh Istana Negara dengan bersenjatakan parang sejak minggu lalu amat membimbangkan AMANAH WP terkait isu-isu perkauman atau fahaman agama sempit yang mungkin menjadi pendorong kepada kejadian seumpama itu.
Oleh itu, Khalid mengingatkan pembangkang Pas yang sering menggunakan pendekatan politik kanan untuk tidak menyumbang kepada bertambahnya kecenderungan terhadap tindakan ekstrimisme di negara ini.
“AMANAH WP menerima baik pendirian Pas membela MP Seputeh dan mengutuk ancaman membunuh itu tetapi Pas perlu juga menyedari bahawa kempen politik haluan kanan yang dibawa mereka turut menyumbang kepada bertambahnya kecenderungan terhadap tindakan ekstrimisme.
“Kempen kebencian dan dakyah bahawa Islam terancam adalah jenis propoganda yang menyuburkan ekstrimisme agama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khalid turut menggesa PDRM bertindak lebih tegas terhadap individu terlibat dengan jenayah keganasan agar insiden seumpama itu tidak berlaku lagi.
“Kami juga menyeru semua pihak agar bersikap bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan sebarang provokasi dengan memainkan isu dan sentimen perkauman, ekstrimisme agama atau apa sahaja perkara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian yang sedang kita kecapi bersama ini,” kata mantan Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional itu lagi.