Pemimpin Pas yang sibuk mengkritik kononnya kebebasan media terancam di bawah Kerajaan Perpaduan dihadapkan dengan persoalan baharu apabila Presiden Pas menyalahkan media menyiarkan jenayah seksual melibatkan ustaz di sekolah agama atau pusat tahfiz.
Bagi Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam tindakan Presiden Pas, Hj Hadi Awang membidas media kononnya memperbesar kes jenayah seksual melibatkan agamawan itu amatlah tidak adil.
Menurut beliau, media menjalankan tugas mereka untuk melaporkan kebenaran dan pihak yang terlibat tidak perlu berprasangka buruk.
“Saya terkejut bila seorang tinggi martabat dalam parti politik yang konon memperjuang Islam boleh memberikan pandangan bahawa media digunakan untuk memperbesarkan berita berkenaan kes salah laku yang berlaku di sekolah agama.
“Apa yang kamu cakap wahai Hj Hadi? Kamu tahu tidak sejak kebelakangan ini, 2023 – 2024 terdapat beberapa kes salah laku serius oleh tenaga pengajar yang bergelar ustaz?
“Tahukah kamu kesalahan serius yang dimaksudkan? Antara kesalahan dilaporkan, kes cabul, amang seksual, (seks) luar tabie. Adakah kesalahan ini kamu lihat ringan dan tidak boleh dihebahkan kepada masyarakat?” tanyanya dalam sesi siaran langsung Facebook malam tadi.
Kata Lokman, kes yang melibatkan salah laku seksual dan didedahkan media bukan sahaja melibatkan golongan agamawan Islam tetapi juga berlaku ke atas agamawan lain.
Cuma yang menjadi persoalan, katanya, adakah kerana sekolah yang terlibat dalam pemberitaan jenayah sesual itu cenderung kepada Pas maka ianya dilihat sebagai masalah oleh pemimpin berkenaan.
“Kalau benda ini melibatkan paderi mungkin Hj Hadi tak bising. Tetapi apabila skandal yang berlaku ini melibatkan ustaz di sekolah agama, yang kita tahu kebanyakan mereka terdiri daripada ustaz yang dekat dengan Pas, adakah ianya patut disembunyikan?
“Saya ingin bertanya, apa perasaan ibu bapa yang terlibat dengan kes puak ustaz munafik ini? Kamu tahu niat ibu bapa hantar anak ke sekolah agama untuk menjadi insan bertakwa dan diterapkan ilmu agama? Bukan hantar anak ini untuk jadi pemuas nafsu ustaz munafik,” kata Lokman.
Beliau menegaskan bahawa peranan media amat penting dalam mendedahkan salah laku sekasual tersebut.
Katanya, dengan pendedahan itu maka ibu bapa boleh berwaspada untuk menghantar anak anak mereka ke sekolah yang benar benar diyakini.
“Peranan media penting jika digunakan secara berhemah. Media menghebahkan untuk beri kesedaran orang ramai terhadap ustaz yang menggunakan agama ke arah perkara jenayah.
“Biar ibu bapa sedar dan berwaspada dengan manusia seperti ini,” ujarnya.
Lokman turut mendedahkan statistik pihak polis mendapati 188 pelajar menjadi mangsa jenayah seksual di negeri Kelantan pada tahun 2021 – 2023.
Mangsa paling muda, katanya berusia 9 tahun. Juga 254 kes kesalahan rogol bawah umur pada 2021 – 2023.
Justeru Lokman menasihatkan Hj Hadi supaya menerima situasi tersebut secara terbuka dan mengarahkan kepimpinan kerajaan negeri Pas untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan isu berbangkit terutama di negeri Kelantan.
Pada 28 Mei lalu dalam artikelnya bertajuk “Islam sasaran fitnah, di sini PAS sasaran pertama”, Hj Hadi berkata, ‘senjata media digunakan bagi memburukkan wajah Islam dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Islam.
Apabila berlaku kelemahan manusia pada diri segelintir kumpulan Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan moral atau jenayah, maka akan dibesar-besarkan beritanya.
Sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz, imam, orang yang berkopiah, apalagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya, atau dipakaikan jilbab wanitanya’.
Keadaan ini laksana peribahasa, kata Hj Hadi, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.