Pembukaan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) yang diumum dalam Belanjawan 2024 lalu adalah untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat di utara Perak dan selatan Pulau Pinang, terutamanya kaum Melayu.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembukaan KIGIP juga bakal meningkatkan keupayaan teknologi hijau Malaysia kerana penjanaan tenaga di kawasan perindustrian itu menggunakan teknologi sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Kerian Integrated Green Industrial Park inisiatif Kerajaan Madani, kerjasama awam-swasta untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi seperti diumum dalam Belanjawan Madani 2024. Dia akan bergantung kepada kekuatan tenaga solar sebagi sumber tenaga
“Fasa pertama melibatkan pembangunan tanah berkeluasan 1,000 ekar. Hal ini mudah kerana seluruh tanah ini dimiliki Sime Darby dan kerajaan Perak mempercepatkan proses pengambilan tanah pada tahun ini juga.
“KIGIP bertepatan dengan hab EnE di Pulau Pinang dan Kulim Hi Tech di Kedah. Ia kerana minat industri semikonduktor sekarang dan juga industri berasaskan teknologi hijau yang meningkat,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) dalam sesi Tanya Jawab Perdana Menteri.
Berkenaan persaingan terhadap kawasan industri sedia ada, kata PM, hal itu tidak berbangkit kerana kawasan perindustrian di Pulau Pinang dan Kedah telah pun hampir penuh.
“Sinergi eko sistem Kulim Hi Tech, Bayan Lepas, Batu Kawan dan KIGIP ini harus dilihat secara menyeluruh sebagai sinergi yang boleh saling melengkapi
“Fokus KIGIP kepada tenaga hijau dan minat industri baharu itu bergantung sepenuhnya kepada tenaga hijau.
“Kulim Hi Tech telah hampir memenuhi keperluan awal dan kawasan telah hampir penuh, begitu juga Batu Kawan hampir penuh. Saya tidak fikir ia satu persaingan tetapi saling melengkapi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bahawa Pelaburan Langsung Asing (FDI) 2023 sedikit menurun berbanding 2022, Anwar berkata, data terbaharu pada 2024 menunjukkan peningkatan yang memberansangkan.
Pada 2023, katanya, pelaburan dalam negeri begitu tinggi dan telah mengatasi masalah FDI.
“FDI memang menurun 2023 tetapi pelaburan keseluruhannya tertinggi kerana melibatkan peningkatan mendadak pelaburan domestik.
“Kerana itu kita tidak sangat bimbang, kerana pada 2024 pelaburan asing telah meningkat.
“MITI umumkan angka 2024, jauh lebih banyak daripada diunjurkan sebelumnya,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.