Dakyah laskar siber Perikatan Nasional (PN) mendabik dada susulan prestasi eksport beberapa negeri yang diterajui pembangkang didakwa paling tinggi bagi tahun 2023 adalah tidak tepat sama sekali.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, secara keseluruhannya negeri-negeri di bawah Kerajaan Perpaduan termasuk Pulau Pinang, Johor dan Selangor masih kekal sebagai pengeksport utama negara berdasarkan statistik tahun lalu.
“Kenyataan yang faktanya salah. Apa yang telah dibuat oleh cytro PN ini menunjukkan PN semakin terdesak sehingga sanggup menipu rakyat walaupun secara realitinya gagal memimpin negeri Kedah dan Kelantan dengan baik.
“Secara faktanya Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 31.4%, diikuti Johor (20.3%), Selangor (17.7 %) dan Sarawak (7.8%) pada tahun 2023.
“Justeru, saya ingin ingatkan kepada mereka berpijaklah pada bumi yang nyata. Kalau nak jadi bodoh, biarlah bodoh seorang, jangan menipu rakyat,” katanya.
Terdahulu, satu poster di media sosial memaparkan carta prestasi eksport Kedah yang mencatatkan peningkatan mengalahkan semua negeri-negeri di bawah Kerajaan Perpaduan.
Carta itu mengelirukan kerana angka tersebut adalah mengenai peningkatan eksport Kedah pada 2023 sebagaimana dijelaskan dalam kenyataan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin sebelumnya.
Beberapa negeri mencatatkan penurunan eksport seperti Johor (-RM31.9 bilion), Selangor (-RM21.2 bilion), Sarawak (-RM20.3 bilion), Pulau Pinang (-RM20.2 bilion), Sabah (-RM17.8 bilion), Labuan (-RM7.5 bilion), Perak (-RM5.1 bilion), Pahang (-RM3.0 bilion), Melaka (-RM2.4 bilion), Terengganu (-RM1.7 bilion) dan Perlis (-RM134.1 juta).
Eksport meningkat di Kedah (+RM6.2 bilion), Kuala Lumpur (+RM418.7 juta), Negeri Sembilan (+RM369.4 juta) dan Kelantan (+RM354.6 juta).
Namun secara keseluruhan Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 31.4 peratus, diikuti oleh Johor (20.3%), Selangor (17.7%), Sarawak (7.8%) dan Kuala Lumpur (4.6%).