Kematian seorang pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu dipercayai akibat buli siber sewajarnya ditanggapi oleh pihak berkuasa dengan serius.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN, Thiban Subbramaniam, gejala buli siber yang dihadapi oleh Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha dalam platform TikTok, tidak sepatutnya berlaku ke atas beliau di dalam negara yang bebas menyatakan pandangan secara terbuka seperti Malaysia.
Katanya, Esha menjadi popular setelah mula bersuara menangkis dakwaan Zamri Vinoth dan Ustaz Sophian dalam isu berkaitan agama Hindu.
Namun kata Thiban, perbalahan berterusan di TikTok live menjadi masalah besar di kemudian hari apabila Esha dijadikan sasaran buli siber beberapa kumpulan lain yang tidak bertanggungjawab.
“Saya dimaklumkan beberapa pempengaruh yang lain dengan nama panggilan “Dulal”, “Alpha Queen” dan beberapa akaun palsu terus membuat live TikTok dan membuli saudari Esha sehingga mengalami tekanan mental yang serius.
“Perkara ini amat menyedihkan kerana tindakan segelintir pengguna media sosial yang tidak tanggungjawab menyebabkan kehilangan nyawa seorang anak muda.
“Laporan Polis telah pun dibuat dan saudari Esha juga pernah menghadiri siasatan polis berhubung isu sebelum ini.
“Saya mengesa pihak PDRM dalam kes ini mengambil tindakan yang tegas terhadap kesemua mereka yang didakwa telah berkongsi video TikTok dan mencemarkan nama serta reputasi mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Thiban, tidak sepatutnya Esha menerima kritikan melampau sehingga beliau bertindak membunuh diri.
Sehubungan itu, Thiban menyokong penuh arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Kementerian Komunikasi membentangkan laporan berhubung insiden buli tersebut dalam mesyuarat kabinet, Jumaat depan.
Beliau juga memuji Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memulakan siasatan berhubung jenayah buli siber.
“YBM Fahmi memaklumkan beliau memandang serius isu ini dan akan mengkaji pindaan akta supaya Kerajaan tegas menangani gejala buli siber. Saya menyambut baik usaha Kerajaan dalam menangani gejala ini dan mengklasifikasikan ia sebagai jenayah berat.
“Gejala ‘Cyberbully’ yang berleluasa di kalangan warga maya memberi impak negatif kepada kesihatan mental. Kini ia menjadi trend di kalangan anak-anak muda India yang majoritinya terpengaruh dan melibatkan diri dalam live TikTok, menghimpunkan pelbagai watak menggunakan kata-kata kesat, dan buat pembunuhan karakter individu.
“Demi “like” dan populariti, mereka sanggup buat apa sahaja. Ramai terjebak dalam trend ini yang semakin meningkat dan ia amat merisaukan khususnya di kalangan anak-anak muda India. Saya akan berjumpa dengan wakil SKMM untuk menyalurkan maklumat tambahan tentang trend ini supaya ia dapat dikekang,” katanya.
Tegas Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor itu, masyarakat umum sepatutnya mengambil iktibar dalam kes mendiang saudari Esha bahawa kebertanggungjawaban bersama adalah penting bagi membendung gejala buli siber.
“Saya gesa orang ramai jangan buat sebarang spekulasi dan salurkan segala bukti tentang kes ini jika ada, kepada pihak polis dan SKMM supaya penjenayah yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Saya kesal semua ini hanya berlaku setelah kita kehilangan seorang lagi nyawa anak muda. Biarlah ia menjadi kes terakhir,” katanya lagi.