Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh negara sejak berjaya mengeksport durian sejuk beku pada era kerajaan Pakatan Harapan (2018 – 2020) dan kini berjaya mengeksport durian segar ke China, memerlukan negara melihat dengan lebih fokus ke arah mewujudkan ‘ekonomi durian’.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, durian terbukti sebagai komoditi pertanian yang paling berjaya selepas getah dan sawit.
Mantan Timbalan Menteri Pertanian itu berkata, sejak kejayaan pasukan beliau dan mantan Menteri Pertanian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob mendapatkan kebenaran mengeksport ke China, negara ini telah berjaya mendapat hasil durian bernilai ratusan juta setahun dan masih menerima pertambahan permintaan dari pasaran China.
“Pada tahun 2024 ini, Malaysia berjaya mendapat akses untuk eksport durian segar ke China. Ini adalah satu lagi peristiwa penting.
“Pada 2022, Malaysia mengeksport RM887 juta ke China. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada pasaran AS$6.7 bilion. Dengan akses durian segar menjelang suku keempat 2024, eksport durian dijangka mencecah RM1 bilion pada 2024.
“Industri durian Malaysia mesti memanfaatkan peluang bersejarah ini.
“Kita mesti membangunkan ekonomi durian. Ekonomi durian bermaksud menggunakan durian untuk membangunkan produk yang komprehensif,” kata Tze Tzin dalam kenyataan.
Sehubungan itu, kata Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN itu, Malaysia wajar membangunkan lebih banyak varieti durian yang berkualiti selain Musang King dan Blackthorn.
Pada sektor hiliran, katanya, negara juga harus menguasahakan lebih banyak produk nilai tambah durian yang kreatif selain aiskrim durian, biskut dan sebagainya.
Selain produk berasaskan durian, beliau juga mencadangkan agar rakyat Malaysia mengusahakan pelancongan berasaskan persekitaran ladang durian.
“Kita mesti membangunkan pelancongan durian untuk menarik pengunjung dari China, Singapura, Hong Kong, Australia, Indonesia menikmati durian di dusun durian yang asli.
“Ekonomi durian adalah besar, ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang besar dan pekerjaan berkualiti seperti ahli agronomi, penyelidik dan pengurus ladang seperti industri kelapa sawit.
“Ia juga boleh mewujudkan peluang perniagaan. Banyak lagi produk hiliran boleh dibuat menggunakan durian. Golongan muda turut boleh menceburi peluang besar ini untuk memulakan perniagaan,” katanya lagi.
Tze Tzin berharap ekonomi durian akan berjaya di Malaysia dan rakyat bukan sahaja menikmati kelazatan durian tetapi keuntungan lumayan dengan mengusahakannya.