KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan hingga menyebabkan Mesyuarat Agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) ke -31 diisytihar tidak sah.
Pengerusi Anak Mazlan Aliman mendakwa, Ismail Sabri mengarahkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mohd Yusof Samsudin memberi arahan kepada tiga panel SKM untuk membatalkan Mesyuarat Agung tersebut.
“Pada 20 Jun lalu ahli KPF yang memiliki 51 peratus saham dalam Felda Holding Berhad mengadakan Mesyuarat Agung untuk mengambil alih semula pengurusan itu. Bagaimanapun beberapa perwakilan membantah dan meminta mesyuarat itu dibatalkan atas sebab laporan audit kewangan KPF bagi tahun berakhir 31 disember 2011 lembat dihantar kepada mereka.
“Bantahan ini kemudiaannya dirujuk kepada SKM dan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak panel memutuskan mesyuarat adalah sah kerana isu yang dibangkitkan adalah isu teknikal yang tidak menjejaskan keputusan mesyuarat agung.
“Tiba-tiba, Mohd Yusof (Pengerusi Eksekutif SKM) mengarahkan panel untuk menerima bantahan pihak yang ingin membatalkan mesyuarat agung tersebut. Arahan yang luar biasa ini begitu mengejutkan kerana Pengerusi Eksekutif SKM tidak pernah mengarahkan panel seumpamanya untuk berbuat demikian.
“Ini menimbulkan syak di kalangan ahli koperasi bahawa terdapat campur tangan daripada menteri yang bertanggung jawab,” kata Mazlan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini petang tadi.
Dakwa Mazlan, campur tangan Ismail Sabri dalam isu tersebut bertentangan dengan amalan biasa SKM selama ini.
Katanya, kenyataan Ismail Sabri sebelum ini mengatakan menteri berkuasa mengecualikan individu tertentu daripada mematuhi undang-undang kecil koperasi menguatkan lagi dakwaan campur tangan dalam isu perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi KPF.
“Rentetan dan kenyataan yang dilakukan oleh menteri berkenaan jelas menyalah guna kuasa dan mencampuri urusan koperasi yang mempunyai undang-undang kecil tersendiri.
“Jelas dalam undang-undang kecil koperasi bahagian 4 Seksyen 2 (1) kelayakan untuk menerima sebagai ahli koperasi mestilah di kalangan peneroka Felda, keluarga dan kekitangan tetap Felda.
“Kedudukan Isa hanya bertaraf lantikan kontrak dan tidak layak diterima sebagai ahli apatah lagi memegang apa-apa jawatan dalam KPF. Kami tegaskan di sini bahawa KPF selama ii tidak pernah berada dalam krisis hingga memerlukan campurtangan menteri dalam mesyuarat agungnya,” katanya.
Menurut Mazlan lagi, Akta Koperasi 1993 memperuntukkan menteri hanya boleh menuibuhkan tribunal bagi menyelesaikan pertikaian yang berlaku dalam koperasi seperti yang termaktub dalam fasal (Tribunal) 83 (1) akta 52.