Datuk Mohd.Tamrin Abdul Ghafar merupakan anak kepada tokoh Umno disegani Tun Ghafar Baba. Ahli parlimen Batu Berendam, Melaka (1986 – 1995) dan pernah dilantik menjadi Pengerusi MARA (1991 -1993) semakin lantang mengkritik pemimpin Umno yang disifatkannya tidak lagi berjuang membela ekonomi dan agama orang Melayu.
Ikuti temubual bersama Tamrin menyentuh hal-hal ekonomi dan Ketuanan Melayu:
S: Pelbagai isu timbul dalam pentadbiran PM Najib Razak. Terutama yang melibatkan orang Melayu. Apa pandangan Datuk tentang usaha memartabatkan bahasa Melayu?
Tamrin: Usaha memperkasa bahasa Melayu hanya retorik Umno sahaja. Lihat pemimpin Melayu BN kepada orang Melayu pun mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Lihat sistem pendidikan negara, telah dipolitikkan. Contohnya, para guru keliru dengan pandangan Dr Mahathir dan dasar Muhyiddin Yassin mengenai bahasa pengantar Matematik dan Sains (PPSMI). Sekarang jadi bahan lawak pula, Muhyiddin mengatakan sistem pendidikan negara ini lebih baik daripada di Britain dan Jerman.
S: Bagaimana pula Datuk melihat hubungan Umno dengan MCA, terutama dalam hal -hal sensitif seperti hudud?
Tamrin: MCA (selalu) serang hukum Hudud. Hudud adalah hukum Allah. Bila debat Chua Soi Lek dengan Lim Guan Eng, Chua kata dia beri amaran kepada pemimpin Umno kalau hudud dibuat, MCA akan keluar Barisan Nasional. Sebaliknya, Lim Guan Eng kata DAP hormat agama Islam seperti mana orang Islam hormat agama lain. MCA menyerang hukum hudud tetapi Umno senyap sahaja. Jadi, siapa yang perkauman!
S: Apakah politik adu domba dalam pelbagai isu sensitif akan berterusan?
Tamrin: Ya. Orang Melayu kampung masih dimomokkan jika Malaysia diperintah Pakatan Rakyat maka DAP akan berkuasa. Sedangkan DAP hanya boleh bertanding 60 dari 222 kerusi Parlimen. Pernahkah mereka tahu, MCA tidak membuka pintu kepada orang Melayu menjadi calon .Sedangkan kita jumpa ramai tokoh DAP Melayu jadi calon. Umno tak pernah letak calon bukan Melayu, tetapi PAS letak calon bukan Melayu.
Sebenarnya orang Cina hanya mahu berniaga secara bersih. Masalahnya peniaga Cina belum sempat berniaga mereka telah dikenakan ‘cukai’ tanpa resit. Itu buat mereka marah. Rasuah jadi darah daging Umno .Ini sangat teruk dan memalukan orang Melayu.
S: Kalau begitu, apa beza Umno dulu dan sekarang?
Tamrin: Sebelum Umno lama dibubar, pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein parti itu berjalan baik. Perjuangan Umno jelas, iaitu berjuang untuk kepentingan rakyat. Bukan hanya orang Melayu sahaja, tetapi untuk semua rakyat. Selepas Umno baru wujud (1987), saya lihat perjuangan Umno lari dari landasan. Pada awal 90-an saya nampak perkara ini. Saya cabar Dr Mahathir dalam debat di Parlimen, terutama dasarnya terhadap Israel. Secara senyap-senyap Dr Mahathir menghantar Tengku Abdullah (adik Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman) ke Israel untuk mengadakan perhubungan.
Dr Mahathir pada waktu itu juga telah menyerang, mempersenda alim ulamak dengan mengutuk janggut, kopiah dan cara pakaian mereka. Sedangkan perkara 3.3 perlembagaan parti mengatakan – Umno berjuang untuk mengakkan Islam sebagai agama rasmi, dan kita menghormati agama-agama lain.
S: Rasuah berleluasa. Adakah rasuah jadi budaya?
Tamrin: (Rasuah berleluasa) bermula pada zaman Mahathir. Kemuncaknya semasa Dr Mahathir mengarah Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan beberapa bilion dana untuk menyelamatkan syarikat MISC diterajui Mirzan. Begitu juga dengan syarikat penjana tenaga bebas (IPP). Selagi ada bulan dan matahari, IPP akan dibayar tinggi, sehingga bekas Pengerusi TNB ketika itu, Tan Sri Ani Arope meletak jawatan. Dari sinilah bermula perbezaan antara Dr Mahathir dan Anwar. Dr Mahathir adalah manusia yang tak boleh ditegur. Tengok apa berlaku sekarang. Mirzan beli 19.9 peratus perkongsian dalam San Miguel. Lebih kurang RM 2.9 bilion. Katakanlah bank beri 80% pinjaman, tetapi dari mana dia dapat RM600 juta itu. Kita nak tahu duit ini dari mana? Adakah lebihan dari duit menyematkan syarikatnya dahulu?
S: Apa pandangan mengenai pengapungan FGVH dalam suasana saham merudum?
Tamrin: Apabila diapungkan 10 bilion saham dengan harga RM4.50 seunit, untuk kekalkan harga itu, kita kena ada RM 50 bilion. Sebahagian dari 10 bilion saham ini ditampung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji, KWSP, KWAP dan sebagainya. Masalahnya, syarikat akan bergantung kepada pegangan asing. Bayangkan bila saham turun. Mereka (pelabur asing) boleh tekan harga. Dalam pasaran terbuka sesiapa boleh beli saham. Akhirnya nanti Felda akan dibeli oleh orang asing. Silap-silap, Yahudi akan jadi Pengarah Urusan Felda. Najib penyebab semua ini. Dasar ekonomi, hak bumiputera, syarat apungan syarikat ke Bursa Malaysia yang perlukan 30% pengarah syarikat Bumiputera telah dimasuhkan.
S: Pemberian BR1M RM500 popular di kalangan Melayu. Orang Melayu tidak tahu badan yang diwujudkan buat mereka seperti Mara semakin terhakis….
Tamrin: Adakah setakat RM500 sahaja nilai bangsa kita, sedangkan Najib gunakan RM400,000 untuk kenduri bertunang anaknya. Gunakan duit kerajaan RM80,000 untuk sambutan harijadi dia. Untuk orang Melayu sudah tiada lagi peranan (penggalak ekonomi) apabila Kementerian Pembangunan Usahawanan dan Koperasi (MeCD) dimansuhkan. Agensi seperti UDA, Mara, Pernas Holdings pula kini (dibenar) berlawan (bersaing) dengan usahawan bumiputera. Dasar ekonomi Najib tak lagi bela Melayu.
S: Pandangan Datuk mengenai 1Malaysia
Tamrin: Najib guna 1Malaysia untuk dapatkan undi daripada kaum Tionghua dan India. Dengan dasar 1Malaysia, banyak perkara yang termaktub dalam Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan (hak istimewa Melayu) diketepikan. Sebagai contoh, dasar 30% penglibatan orang Melayu dalam ekonomi semakin longgar. Agensi seperti Mara, Uda Holdings, Pernas dan SEDC (Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri) juga tidak lagi memainkan peranan penting seperti dahulu. Perkara-perkara ini menyebabkan saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat (dan kritikan).
S: Tidak bimbangkah diambil tindakan disiplin?
Tamrin: Sebagai ahli Umno yang bertanggungjawab, saya telah hantar surat pada 23 April lalu, 23 muka surat. Saya sebutkan semua isu. Saya beri masa tiga empat hari. Kalau tak ada reaksi daripada Najib, saya akan edar kepada umum dan berceramah di semua tempat. Oleh kerana Umno tak beri ruang tetapi Pakatan beri, maka saya beri penerangan. Ekoran itu saya dapat surat tunjuk sebab yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno pada 26 Jun 2012. Saya diminta jawab kenapa saya tak boleh diambil tindakan kerana aktif di pentas pembangkang. Saya fikir yang patut diambil tindakan ialah Najib, Muhyiddin dan Majlis Tertinggi Umno. Mereka tak berjuang seperti apa yang ada dalam perlembagaan parti. Adalah menjadi tanggungjawab ahli Umno untuk lindungi ekonomi orang Melayu, agama dan sebagainya.
S: Apakah pesan dari arwah Tun Ghafar Baba yang paling diingati?
Tamrin: Arwah Pak Ghafar lahir dari keluarga miskin. Mak dan ayahnya meninggal ketika dia berusia lingkungan 10 tahun. Pada umur 14 tahun, dia jadi ahli KMM (Kesatuan Melayu Muda). Dia bersama Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam masuk PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Tahun 1951 masuk Umno atas pelawaan Tunku. Rekod Pak Ghafar selama menjadi menteri pusat, dia hanya nak jadi Menteri Pembangunan Luar Bandar. Bermula dari itu pelbagai skim diperkenal. Mara (Majlis Amanah Rakyat) digerakkan.
Kami dididik berjuang cara begitu. Sudah 55 tahun merdeka. Malangnya rakyat terus digula-gulakan demi kepentingan pemimpin (Umno BN) bermaharajalela. Apa guna (menteri) ada mahligai, kalau ada rakyat yang masih duduk di rumah beratap zink dan rumbia?