Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendapat maklumat mendakwa Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR), sebuah kolej milik penuh Kerajaan Negeri Perak kini mengalami masalah kewangan yang kritikal walapun dalam masa yang sama telah dinaiktaraf menjadi Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS) baru-baru ini.
Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir masih belum berupaya memastikan taraf KISDAR untuk menjadi Kolej Universiti berikutan kepincangan masalah kewangan
“Dengan menaiktarafkan KISDAR kepada KUISAS, kos operasi yang amat tinggi terpaksa ditanggung. Persoalan timbul tentang penganugerahan tanah hampir 3,000 ekar kepada KISDAR bagi tujuan menjana kewangannya, apakah yang telah berlaku?
“Sehingga kini, kos bayaran kakitangan KISDAR sudah mencecah RM 1 Juta sebulan dan kos ini tidak termasuk kos pembangunan akademik serta pelajar dan juga kos penyelenggaraan operasi KISDAR. Kami turut difahamkan bahawa penambahan kos gaji kakitangan berlaku disebabkan kemasukan kakitangan pentadbiran secara ‘melampau’ dan juga berlebihan,” katanya.
Dakwa Dr Raja Ahmad lagi, kolej tersebut seperti tiada perancangan rapi bagi memastikan pengurusan utama KISDAR menilai semua permohonan kakitangan yang sewajarnya dan layak bagi mengisi kekosongan.
“Ini termasuk dalam melantik beberapa pegawai utama tanpa ada satu penilaian dan kelayakan bagi memastikan pengurusan KISDAR mampu dinaiktaraf sepenuhnya. Kami juga melihat kegagalan ini dengan pemotongan permohonan peruntukan yang dikemukakan oleh KISDAR, menampakkan lagi kepincangan dalam menguruskannya,” sambung beliau.
Beliau turut mendakwa difahamkan akibat daripada permotongan peruntukan tersebut bayaran gaji kakitangan KISDAR hanya mampu dibayar sehingga September atau Oktober sahaja.
“Kami sangsi kemampuan Datuk Seri Zambry di dalam memastikan satu-satunya Kolej di bawah Kerajaan Negeri Perak akan berjaya dinaiktaraf sepertimana pengharapan Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam titah-titah baginda sebelum ini terhadap pengharapan terbentuknya KUISAS di Negeri Perak. Kami bersedia menjayakan misi menaiktarafkan KISDAR demi rakyat dan masyarakat Islam yang inginkan mercu kebanggaan rakyat Perak ini dipulihkan dengan segera!,” kata Raja Ahmad