Pakatan Rakyat mempersoal tindakan kerajaan Malaysia yang masih berdiam diri mengenai konflik dan pembunuhan kaum di Myanmar yang berlarutan sejak sebulan lalu.
“Pakatan Rakyat mengecam pembunuhan kaum Rohingya di Myanmar yang berlaku pada masa ini dan menuntut ia dihentikan serta-merta.
“Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan jangan mengguna alasan diplomatik untuk tidak bertindak. Mereka perlu mengambil pengajaran dari pembunuhan kaum di Bosnia dan Rwanda yang menunjukkan bahawa hanya tindakan pantas masyarakat antarabangsa akan mendatangkan hasil,” kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Nurul Izzah Anwar, Liew Chin Tong dan Dr Dzulkefly Ahmad.
Sehubungan itu Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak untuk mengambil langkah-langkah (i) Menuntut kerajaan Myanmar mengambil tindakan serta-merta untuk menghentikan pembunuhan kaum dan membenarkan masyarakat antarabangsa untuk memberi bantuan kemanusiaan terus kepada mangsa-mangsa;
(ii)Menuntut ASEAN mengarahkan kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan kaum ini serta-merta. Malaysia memainkan peranan penting dalam membolehkan Myanmar menjadi anggota ASEAN sejak 1997. (iii) Menuntut negara China, yang mana Malaysia telah mempunyai hubungan diplomatik lebih 40 tahun, dan Amerika Syarikat, yang mula melonggarkan sekatan ekonomi kerana reformasi politik di Myanmar, untuk campur tangan dan memberi nasihat kepada Myanmar untuk melindungi semua golongan minoriti dan menghentikan pembunuhan kaum;
(iv) Menuntut negara Bangladesh yang mempunyai talian diplomatik yang kuat dengan Malaysia termasuklah kehadiran yang dianggarkan lebih 500,000 warga Bangladesh di Malaysia untuk mendesak Myanmar membuka sempadan dan memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa tersebut;
(v)Menuntut OIC di mana DS Najib sedang menyertai perjumpaan di Mekah untuk mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (di mana Pakistan, Maghribi, Azerbaijan dan Togo adalah ahli Majlis Keselamatan) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta dan (vi) Menuntut DS Najib menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa yang mengatakan mana-mana kerajaan yang gagal melindungi kumpulan minoriti dan menyemarakkan semangat perkauman serta pembunuhan kaum di Myanmar dan seluruh dunia.
“Malaysia wajib bertindak pantas kerana bukan sahaja DS Najib telah menobatkan Malaysia sebagai mempunyai ‘Demokrasi Terbaik’ di dunia malah ianya sebuah negara contoh dengan UMNO sebagai parti pemerintah yang terbesar di dunia untuk membuktikan kenyataan beliau itu benar dan tidak palsu. Masa untuk menunjukkan kepimpinan moral sudah tiba,” tegas mereka lagi.