IPOH: PAS Negeri Perak menggesa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mengenai ketelusan kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).
Koodinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, ini berikutan kos baikpulih dan pembinaan rumah dalam Program Infra Bina Upaya (IBU) sangat mencurigakan.
Katanya, peruntukan awal daripada Bajet Kerajaan Negeri Perak sebanyak RM 4 Juta dan difahamkan peruntukan tambahan sebanyak RM 2 Juta telah diberikan untuk program tersebut.
Menurut Salman, kenyataan Pengerusi YBUDR, Datuk Saarani Mohamad ketika pelancaran Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) baru-baru ini berkata kos pembinaan 227 buah rumah setiap satunya bernilai RM35,000 sebuah manakala manakala sejumlah 285 buah rumah turut berjaya dibaikpulih dengan membabitkan kos berjumlah lebih RM 13 Juta.
“Jika dibandingkan kos tersebut, sebenarnya kos baikpulih telah menelan satu belanja yang terlalu besar iaitu RM 45,614.035 sebuah sedangkan polisi bagi tujuan baikpulih YBUDR hanya diperuntukan RM15,000 sebuah sahaja,” Katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri mendakwa persoalan timbul apabila berlaku pencanggahan kos baikpulih rumah yang telah dilaksanakan oleh yayasan tersebut.
“Sekiranya 285 buah rumah telah dibaikpulih dengan peruntukan dari YBUDR tidak melebihi RM 15,000 setiap satu maka jumlah keseluruhannya ialah RM 4.275 Juta.
“Kami sangsi di mana berlakunya ketirisan sebanyak RM 8.725 Juta,” ujar beliau.
Justeru, beliau merasakan banyak persoalan sebenarnya telah berlaku dengan program tersebut yang perlu dijawab.
“Kami menggesa SPRM menyiasat butiran tersebut kerana ianya membabitkan kewangan rakyat dan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry perlu memberi penjelasan agar rakyat mengetahui perkara sebenar,” tegas beliau.