Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendesak agar bekas Menteri Besar Negeri Perak, Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali menjelaskan kelancaran projek Wifi Percuma di seluruh bandar di Negeri Perak yang sepatutnya dinikmati sepenuhnya rakyat Perak menjelang tahun 2007
Menurut Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh berkata rakyat merasakan projek besar tersebut masih tidak sempurna dan tidak dinikmati sehingga kini.
“Persoalan kami, di manakah kelemahan pengurusan projek berimpak besar ini? Siapakah yang bertanggungjawab sepenuhnya di atas kelemahan ini?
“Tan Sri Tajol Rosli ketika itu atau Datuk Seri Zambry ketika ini? Kenapakah projek wifi percuma ‘indah khabar dari rupa’ sedangkan pelbagai laporan berita mengenainya semenjak tahun 2006 lagi? Oleh kerana pelbagai persoalan yang timbul, kami menggesa Tan Sri Tajol Rosli membuat penjelasan pada Sidang DUN akan datang bagi merungkai sama ada wujud ketirisan wang rakyat dalam projek ini.
“Kami juga mencabar Datuk Seri Zambry untuk menjelaskan faktor kegagalan projek yang menelan kos yang agak besar tersebut. Bagi kami, kelemahan ini menunjukkan ketidak mampuan sebenar Datuk Seri Zambry yang dipertanggungjawabkan ketika itu dan secara jelas juga menunjukkan kelemahan kepimpinan Tan Sri Tajol Rosli,” katanya.