Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal terhadap kenyataan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan yang telah mengguris perasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di mana beliau meletakkan tahap Atlet Paralimpik Kontijen Negara di kejohanan Paralimpik di London baru-baru ini sebagai ‘kelas kedua’.
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad al Hiss menggesa agar Shabery memohon maaf secara terbuka di atas ketelanjuran bahasa yang dinyatakan. Soalnya, adakah ia memang menjadi dasar Kerajaan Pusat merendahkan dan menganggap bahawa Atlet Paralimpik tidak bernilai di Malaysia.
“Kenyataan Dato’ Shabery baru-baru ini yang menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan memberi pencen kepada atlet paralimpik memenangi pingat pada temasya baru-baru ini sebagai tidak adil sama sekali. Kami merasakan OKU seumpama inilah yang sewajarnya diberikan perhatian dan diberikan bantuan yang melebihi orang lain yang cukup sifatnya.
“Ditambah kenyataan pedas Shabery yang mengatakan bahawa ‘Perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan’ , ternyata sangat menyinggung perasaan OKU.
“Kami amat kesal kenyataan penghinaan yang diberikan oleh Dato’ Sri Shabery tersebut yang boleh disifatkan bongkak dan tidak mengadili kekurangan seseorang manusia,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau mendesak satu tindakan diambil terhadap Dato’ Sri Shabery dengan segera dan mendesak agar Atlet Paralimpik juga diberikan pencen yang lebih baik daripada Atlet Olimpik Negara yang diumumkan oleh Dato’ Sri Shabery memandangkan merekalah yang perlu lebih dibantu oleh manusia normal.