Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendesak kepimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir mendedahkan audit kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan membentangkannya di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan datang bagi membuktikan ketelusannya.
Demikian dinyatakan Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh. Menurut Salman PAS merasakan perkara tersebut penting kerana melibatkan wang rakyat yang besar disalurkan setiap tahun kepada YBUDR.
“Kesangsian yang ingin kami utarakan adalah kerana banyaknya rungutan daripada rakyat yang menerima bantuan ini tidak menepati seperti yang sepatutnya. Ada dikalangan yang menerimanya sebagai contoh skim baikpulih rumah yang ibarat ‘melepaskan batuk ditanggga’ sahaja. Rumah yang dibaikpulih masih tidak sempurna walaupun peruntukan sudah habis digunakan. Malah polisi peruntukan baikpulih rumah yang sepatutnya tidak melebihi RM 15 Ribu sebuah rumah tetapi kami menerima laporan ada yang mendapat dua kali peruntukan yang mencecah pembinaan rumah baru iaitu sebanyak RM 30 Ribu sebuah rumah. Adakah ini benar?
“Justeru, kami akan terus mendesak agar Datuk Seri Zambry membuktikan ketelusannya sehingga kewangan YBUDR diaudit dan dinilai setiap rakyat dalam pelbagai kaedah seperti membentangkannya di dalam Sidang DUN akan datang, diberikan kuasa mengaudit kepada Ketua Audit Negara, memaparkannya di dalam Laman Web Rasmi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) dan ianya boleh juga dibukukan bagi penilaian rakyat kewangan YBUDR tersebut. Kami sekali lagi mencabar ketelusan dan integriti kepimpinan Datuk Seri Zambry dalam keikhlasannya membantu rakyat selama ini,” katanya.