Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kesal dengan penganjuran Konsert Ambang Sambutan Hari Malaysia di Dataran Ipoh pada 15 September lalu ‘berlesenkan’ sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.
Demikian kata Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Ahmad Nuri al Amin. Katanya, konsert itu secara tidak langsung gagal menghormati kesucian bulan Syawal yang masih disambut oleh umat Islam
“Dengan menghidangkan konsert yang dibarisi artis daripada Ella, Amy Search dan Datuk AC Mizal ia dilihat amat bertentangan dengan garis panduan daripada Jabatan Mufti Negeri Perak.
“Kami persoalkan, apakah tindakan Jabatan Mufti di atas penganjuran konsert yang jelas satu penghinaan kepada bulan Syawal ini? Kami mendesak agar Kerajaan Negeri Perak mengambil perhatian di atas isu-isu berkaitan Islam, ditambah konsert ini berlaku dalam masa yang sama dengan isu filem pendek yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir sebagai seorang yang mendapat didikan aliran agama peringkat tinggi agar menasihati kalangan ‘orang-orang kuatnya’ untuk lebih sensitif dalam perkara yang berkaitan dengan Islam.