Kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamudin Husein yang menolak cadangan Kerajaan Selangor untuk mewujudkan polis bantuan di bawah Kerajaan Negeri bagi membanteras peningkatan aktiviti jenayah amat dikesali.
Ketua Publisiti DAP yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Selatan Tony Pua menyifatkan penolakan itu sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui mereka kekurangan anggota untuk menangani jenayah.
“Alasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa polis bantuan melanggar perlembagaan adalah sangat pincang kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan yang menghalang penubuhan suatu pasukan polis bantuan, seperti juga tiada peruntukan yang menghalang kewujudan perkhidmatan pengawal keselamatan.
“Alasan beliau bukan saja pincang tetapi juga tidak bertanggungjawab. Ia menunjukkan Hishamudin lebih mengutamakan politik, kerana Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat, melampaui keselamatan rakyat yang mendiami negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Menurut Tony, sekiranya Hishamudin yakin dengan kemampuan polis dalam mengurangkan kadar jenayah mengapa beliau tidak menolak perkhidmatan pengawal keselamatan kawasan, pengawal rumah, pengawal pintu pagar dan sebagainya yang sejak dua tahun kebelakangan ini tumbuh bagaikan cendawan di kawasan tumpuan utama ekonomi seperti Petaling Jaya.
“Bukankah secara teknikalnya berlaku pelanggaran undang-undang bagi sesiapa sahaja yang menghalang laluan awam dengan apa tujuan sekali pun? Beranikah Menteri Dalam Negeri membuang kesemua bentuk halangan ini?
“Kerajaan selangor mengambil keputusan untuk berlembut dengan pelbagai perkhidmatan keselamatan ini biar pun ia tidak diiktiraf undang-undang kerana kami faham akan kebimbangan penduduk akan peningkatan jenayah sepanjang tahun 2008/9. Kami menghormati hak mereka untuk melindungi keselamatan keluarga dan melindungi harta benda.
“Biarpun penduduk akhirnya terpaksa membayar ratusan ringgit sebulan untuk mengurangkan kadar jenayah di dalam bandar. Namun bukankah tindakan ini telah membuktikan yang rakyat Malaysia tidak yakin polis mempunyai cukup kakitangan untuk melindungi mereka sehingga mereka terpaksa mengambil peranan polis untuk melindungi diri mereka sendiri,” bidas Tony.
Bagi beliau tawaran Kerajaan Selangor menggunakan wang rakyat untuk membantu pihak polis bagi menjalankan rondaan sepatutnya dialu-alukan. Tawaran itu sangat baik dalam keadaan pasukan polis kekurangan kakitangan dan sukar melakukan rondaan secara kerap. Pasukan polis bantuan bukanlah di bawah arahan Kerajaan Negeri tetapi dikendalikan oleh pasukan polis sendiri yang tidak sepatutnya menimbulkan sebarang masalah.
“Kita meminta Menteri Dalam Negeri berhenti bermain politik serta memberi alasan yang lemah menolak tawaran Kerajaan Selangor. Hishamudin sepatutnya mendahulukan rakyat dan memastikan rakyat Malaysia dilindungi secukupnya oleh pihak polis sama ada nyawa atau harta-benda mereka,” akhiri Tony.