Ketua Pembangkqng Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar defisit sebanyak RM 21.6 bilion dalam perbelanjaan negara pada tahun ini akibat kegagalan kerajaan Umno BN berbelanja secara berhemah dan ketirisan dalam urus tadbir negara.
“Jika diperhatikan, sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, (2009-2013), keghairahan berbelanja ini sudah menjadi penyakit dan ketagihan.
“Contohnya peningkatan sejak 2009 – 2013 sebanyak RM8 bilion membayar khidmat hutang, meningkat sebanyak 56 peratus. Subsidi pula dari 2009 – 2013 meningkat sebanyak 17.2 bilion iaitu 85 peratus.
“Bunyinya lunak untuk kebajikan tetapi sebahagian besar subsidi hanya dinikmati oleh kroni mereka, tidak sampai ke golongan sasaran,” katanya pada perbahasan bajet 2013 di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, peningkatan bayaran hutang paling ketara iaitu sebanyak 56 peratus atau meningkat RM8 bilion.
“Ini bermakna jumlah pinjaman baru mengikut data Bank Negara sejak 2009 hingga 2013 adalah RM184 bilion,” katanya.
Selain itu Anwar berkata, perbelanjaan perbekalan dan perolehan melonjak sebanyak 28 peratus kepada RM15 bilion, berbanding hanya RM7 bilion kalau ia dilakukan melalui tender trrbuka.
Katanya, ketirisan yang berlaku itu boleh dimanfaatkan kepada rakyat untuk memberi pendidikan pecuma dan memansuhkan PTPTN
Tegasnya, perancangan ekonomi perlu kepada unjuran yang munasabah, kemudian dinilai sama ada sasaran itu berjaya dicapai atau sebaliknya.
Tetapi menurutnya, sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, unjuran bukan sahaja tidak berjaya dicapai malah tersasar jauh dari sasaran awal.
Golongan maha kaya
Beliau turut mengecam pendekatan ekonomi Umno BN yang lebih mengutamakan golongan ‘maha kaya’,.
Beliau berkata, pendekatan ekonomi seharusnya adil dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah setiap keluarga.
“Harta tidak seharusnya berlegar di kalangan orang orang kaya. Sebab itu Pakatan Rakyat menekankan perancangan ekonomi perlu beralih daripada mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan semata-mata kepada sasaran isi rumah minimum sebanyak RM4000 sebulan setiap keluarga menjelang pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Paras pendapatan isi rumah keluarga menjadi sasaran ekonomi utama untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dari arus pembangunan,” katanya.
Selain itu beliau turut menggariskan beberapa pendekatan ekonomi jangka panjang yang menjamin peningkatan pendapatan melalui sasaran seperti berikut.
1. Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh usahawan kecil dan sederhana yang membentuk kelas perniagaan terbesar dalam ekonomi bukan hanya satu dua tauke besar yang membolot sebahagian besar ekonomi.
2. Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran.
3. Peranan kerajaan dalam menjana ekonomi perlu dibataskan kepada usaha mencambahkan bidang baru yang memesatkan kegiatan ekonomi secara tegik bukan terlibat sama dalam kegiatan ekonomi dan bersaing pula dengan usahawan kecil serta pengusaha lain.