Golongan wanita lebih terbela di bawah Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat kerana diperuntukan RM4 bilion untuk program memberdaya wanita berbanding RM450 juta di bawah belanjawan Umno BN.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata peruntukan tersebut merangkumi Caruman Wanita Nasional (SCWN) yang menelan kos RM3 bilion dan Skim Elaun Penjagaan Anak (SEPA) melibatkan peruntukan RM940 juta setahun.
Menurut beliau menerusi SCWN, Pakatan Rakyat berhasrat memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepada suri rumah sebagai persediaan keselamatan sosial termasuk kematian suami, penceraian atau kurang upaya.
“Suri rumah boleh mengeluarkan caruman pada bila-bila masa sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Jika tidak, caruman itu boleh disimpan dan boleh dikeluarkan pada usia 50 tahun dengan simpanan sebanyak RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Wanita, Rodziah Ismail dan Biro Pelaburan dan Perdagangan Wong Chen.
Bagi peruntukan SEPA pula, Rodziah berkata, ia diperkenalkan untuk menolong wanita bekerja yang pendapatannya kurang RM1,000.
Menurut beliau, setiap kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun akan diberikan peruntukan RM1,000 setahun dan ia terhad kepada dua orang anak setiap keluarga.
Peruntukan itu katanya bertujuan membantu ibu yang bekerja untuk membayar yuran pengasuh ketika sedang bekerja.
Tambahnya lagi, terdapat kira-kira 470,000 isi rumah miskin yang layak menerima bantuan skim tersebutyang akan menelan belanja kira-kira RM940 juta setahun.
“Walaupun skim ini mahal, namun ia mempunyai sasaran ekonomi untuk menggalakkan lebih ramai wanita bekerja,” katanya.
Sementara itu Chen berkata, peruntukan dalam belanjawan negara terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencatatkan penurunan setiap tahun dan ia berlaku sejak 2010.
Menurut beliau pada tahun 2010, KPWKM diperuntukan RM2.4 juta setahun, jumlah tersebut kemudiannya menurun kepada RM2 bilion pada 2011, RM1.9 bilion (2012) dan RM1.8 bilion (2013).
“Belanjawan tahun ini adalah belanjawan terbesar iaitu RM251.6 bilion. Ia merupakan peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding tahun lalu.
“Namun apa yang mendukacitakan, pada tahun ini Umno BN memperuntukan hanya 0.2 peratus daripada belanjawan keseluruhan untuk program memberdaya wanita,” katanya.