Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan peduli tentang keselamatan negara, melainkan keselamatan tuan politik mereka, iaitu Umno-BN, kata ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
“Mereka tidak fikir keselamatan negara selain Umno-BN. Kita tidak tahu siapa yang didaftarkan. Boleh jadi siapa sahaja dan mengancam keselamatan negara. Tapi, saya yakin kerajaan tidak akan berbuat apa-apa.
“Penipuan ini adalah talian hayat terakhir mereka untuk mengekalkan kuasa. Sebab itu saya seru rakyat Malaysia supaya bangkit melawan penipuan, menjadi ejen untuk kesan pengundi hantu,” katanya kepada Suara Keadilan.
Fuziah pada 2 Oktober lalu di Parlimen mendedahkan dua individu dimasukkan kedalam data senarai daftar pemilih SPR, walaupun mereka didapati bersalah oleh mahkamah kerana memiliki kad pengenalan palsu.
Akhbar Daily Express di Sabah 26 September lalu melaporkan, Hassanuddin Manna, 37, memberitahu mahkamah bahawa beliau membeli Mykad palsu pada harga RM1,000 melalui rakannya dengan nombor siri 741029-12-5463.
Hassanuddin warga Filipina didaftar mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dalam Parlimen Sepanggar di Sabah.
Beliau dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 atau penjara sebulan kerana memiliki dokumen palsu oleh Majistret, Norhamizah Shaifuddin.
Manakala Salleh Samsul, 43 tahun, yang mengaku bersalah mengunakan dokumen 670110-12-5035 atas namanya sendiri dijatuhkan hukuman setahun penjara pada 20 September 2010 oleh Majistret Cindy McJuce Balitus dari kamar majistret Kota Kinabalu.
Salleh yang memiliki kad pengenalan dari Sabah didaftar mengundi di DUN Permas dalam Parlimen Pasir Gudang.
Justeru, satu laporan Polis dibuat penyelaras Pusat Aduan Rakyat Permas, Johor, Syed Othman Syed Abdullah bersama Biro Undang-undang KEADILAN Johor, Jimmy Puah di IPD Seri Alam, Masai, 5 Oktober lalu.
Menurut Syed Othman, semakan mendapati Salleh Samsul sudah mengundi sejak tahun 1993 di DUN Permas dan Parlimen Pasir Gudang.
Justeru, Syed memberi tempoh tujuh hari kepada Salleh Samsul untuk tampil menafikan atau membuat penjelasan.
“Kita pandang serius pendedahan ini. Kemungkinan ramai lagi yang menggunakan kad pengenalan palsu. Akibat kesalahan ini, keselamatan negara terancam,” katanya seperti dilapor laman Nusajayakini.