Menurut laporan audit, pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan menghadapi masalah dan dijangka nilai kontraknya akan meningkat kepada RM177.76 juta.
Peningkatan itu adalah sebanyak RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.
Selain itu, projek tersebut juga gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Mengikut syarat kontrak, projek perlu disiapkan pada 17 September 2009, iaitu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh milik tapak bina oleh kontraktor.
Bagaimanapun, sehingga tarikh akhir projek itu patut disiapkan, hanya 23.7 peratus dari keseluruhan projek baru disiapkan.
Laporan itu turut menyebut, pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman juga menjadi punca kepada masalah dalam pembinaan projek tersebut.
Konsortium I.S Resources dan Ris Capital (M) Sdn Bhd telah dilantik secara rundingan terus pada 30 Jun 2006 untuk melaksanakan projek tersebut.
Namun, berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB), kedua-dua syarikat itu didapati tidak berpengalaman dalam pembinaan projek jambatan jambatan berskala besar.