Sepuluh jam selepas penahanan presiden pergerakan Hindraf P. Uthayakumar, Setiausaha Agung S Jayathas dan berbelas pemimpin Hindraf lain para penyokong pertubuhan itu berkumpul beramai-ramai di hadapan Balai Polis Daerah Jinjang mendesak pembebasan mereka.
Isteri Uthayakumar S. Indra Devi, Isteri S. Jayathas dan beberapa ahli keluarga terdekat pemimpin Hindraf yang lain meminta agar mereka dibenarkan melawat suami dan anggota keluarga yang ditahan. Bagaimanapun pihak polis menutup pintu pagar utama dan tidak membenarkan sesiapa pun ahli keluarga pemimpin Hindraf berkenaan masuk. Sementara sepasukan FRU menghadang di belakang pintu pagar balai polis.
Hal itu menyebabkan penyokong Hindraf marah dan berteriak: ‘polis kejam’ ‘Umno kejam’ dan ‘bebaskan Utayakumar’. Mereka juga bertekad akan terus berkumpul di hadapan balai polis itu selagi tahanan tidak dibebaskan.
Indra Dewi mendakwa polis tidak mengikut lunas undang-undang dalam menahan suaminya dan seterusnya menafikan hak tahanan menemui ahli keluarga. Beliau mengadu polis tidak sepatutnya memberi layanan sedemikian rupa memandangkan suaminya berpenyakit diabetis dan perlukan rawatan.
“Panggil pegawai, ketua kamu, jangan hanya duduk diam. Kami hendak tengok suami kami. Dari pukul 7.00 pagi polis tahan dia sampai sekarang tidak ada khabar berita!” laungnya di pintu pagar balai polis disambut teriakan marah oleh seratus penyokong Hindraf yang mempersoalkan sikap polis berdiam diri.
Pemimpin Hindraf ditahan sekitar jam 7.00 pagi oleh pihak polis sama ada di rumah atau di kawasan berhampiran KLCC. Mereka didakwa cuba melakukan perhimpunan haram, berarak dari KLCC ke Balai Polis Dang Wangi bagi menyatakan bantahan terhadap sikap Umno yang dianggap rasis dalam menangani isu masyarakat India, termasuk mempertahankan novel Interlok yang menyelitkan perkataan tidak sesuai menghina kaum India dari ditarik balik penggunaannya sebagai teks kajian sastera sekolah menengah.
Bagaimanapun, penahanan pemimpin Hindraf bagi mencegah tunjuk perasaan itu menimbulkan keraguan dari segi prosedurnya kerana pihak polis tidak menyatakan alasan penahanan secara terpeinci.
“Kami tidak tahu dia ditahan atas seksyen apa,” kata Indra Dewi, “Polis hanya menahannya di parking kereta dan membawa pergi. Sehingga sekarang polis tidak menyatakan dia akan dibebaskan atau sekiranya ditahan, atas seksyen berapa. Ahli keluarga pun tidak dibenarkan bertemu untuk bertanya lebih lanjut”.
Satu SMS yang dihantar kepada isteri Uthayakumar dari salah seortang pemimpin Hindraf berbunyi: ‘Uthayakumar di IPD Sentul. Dia ditahan kerana cuba mengorganisasikan tunjuk perasaan Hindraf. Bersamanya adalah ketua Human Right Party Negeri Perak, Ramesh dan Ketua HRP Kedah Ramu’
Hindraf menganggap penahanan itu melanggar Artikel 8, 10 dan 12 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhimpunan aman dan setiap kaum mendapat hak masing-masing.
Seorang jurucakap Hindraf memberitahu mereka akan terus berjumpul di hadapan IPD Jinjang selagi pemimpin Hindraf tidak dibebaskan.
“Kami diberitahu pemimpin Hindraf yang ditahan akan dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan dibawa ke tempat lain untuk mengurangkan jumlah himpunan penyokong di balai Jinjang.
“Kami tegaskan, biarkan mereka buat apa yang mereka mahu tetapi kami tetap akan berada di sini dan jumlah kami akan semakin ramai.
“Kami akan mengadakan upacara candle light virgil malam ini dan akan terus di sini selagi pemimpin kami tidak dibebaskan,”ujarnya.
Serentak itu tabung derma kilat dilancarkan dan berjaya mengutip RM1,000 untuk membeli makanan bagi pehimpunan nyalaan lilin yang akan diadakan pada malam nanti.