Tindakan Speaker Dewan Rakyat mengeluar arahan supaya ruang sidang media di lobi Parlimen eksklusif untuk ahli parlimen sahaja bertujuan menghalang peguam Suaram, William Bourdon dan Joseph Breham membuat pendedahan.
Kedua peguam itu dijangkakan tiba ke Malaysia 22 November ini atas jemputan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi taklimat kepada ahli parlimen berhubung perjalanan perbicaraan kes rasuh kapal selam Scorpene di mahkamah Perancis.
“Memang itu tujuan mereka. Untuk halang maklumat dan pendedahan dari disampaikan kepada rakyat melalui media,” kata ahli parlimen Batu, Tian Chua .
“BN juga berdendam dengan pendedahan yang dibuat Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkenaan NFC dan rasuah pemimpin Umno-BN. Perkara ini didedahkan pada sidang media di Parlimen, selain banyak isu-isu lain
“Arahan ini bertentangan dengan semangat kebebasan media,” tegas Tian.
Pagi ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin mengisytiharkan ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen, adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen sahaja berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, orang luar yang masuk ke Parlimen dilarang menggunakan fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar walaupun ditemani oleh anggota Parlimen Bebas, Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.
Ia berikutan petisyen dihantar wartawan Agenda Daily, Rosli Bian bagi menuntut pentadbiran Dewan Rakyat melarang pihak selain ahli parlimen untuk membuat sidang media.
Petisyen turut diedar kepada media lain untuk sokongan. Wartawan dan jurugambar Suara Keadilan menolak untuk menandatangani petisyen tersebut.