Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat tindakan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengzahirkan sokongan terbuka terhadap kepimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir di dalam Barisan Nasional (BN) Perak sebagai satu helah dan usaha mendapatkan sokongan akar umbi
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Ahmad Nuri Al Amin berkata sokongan itu demi untuk memastikan kedudukannya sebagai Pengerusi BN Perak bagi menjamin sebagai calon Menteri Besar Negeri Perak jika BN menang di negeri itu nanti.
“Menurut ‘sumber dalaman’ dari pimpinan Umno Bahagian, pergolakan kepimpinan yang berlaku di dalam Umno Perak ini agak hangat diperkatakan terutama berita tentang beberapa pimpinan Umno Bahagian di Perak telah bertemu dengan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden Umno yang bertujuan untuk ‘mengenepikan’ Datuk Seri Zambry. Jika benar maklumat yang telah diberikan itu maka tidak hairanlah bila mutakhir ini banyak pihak luar yang tiba-tiba menyuarakan sokongan terbuka mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Zambry bagi memastikan kedudukannya tidak akan terjejas menjelang tibanya PRU 13 nanti.
“Sokongan tersebut seolah cuba memberi isyarat kepada umum bahawa kepimpinan Datuk Seri Zambry masih relevan untuk kepentingan orang Melayu disamping memberikan tekanan kepada musuh politiknya dikalangan sebahagian kepimpinan Umno Bahagian tidak berpuas hati dengan kepimpinannya. Senario pergolakan politik Umno Perak masakini agak menarik dan menimbulkan beberapa persoalan utama. Antaranya, jika benar ada usaha mengenepikan kepimpinan Datuk Seri Zambry di dalam Umno Perak, siapakah dalang utama perencanaan ini?
“Mampukan Datuk Seri Zambry bertahan dan seterusnya bertanding di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada PRU 13 nanti? Adakah antara punca ketidakpuashati pimpinan Umno Bahagian adalah berikutan perlantikan jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan dan anak syarikat diisi oleh ‘orang-orang’ Datuk Seri Zambry? Apa pun kami, PAS Perak akan sentiasa memerhatikan perkembangan yang berlaku dan bersedia menghadapi apa-apa jua kemungkinan. Malah kami juga ingin mengucapkan selamat datang kepada calon ‘baru’ Umno di DUN Perak,” katanya.