
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM – Pas Pusat menyifatkan segelintir ahli Pas Selangor menganjurkan satu forum semalam, yang secara terbuka mendesak parti itu kembali ke landasan asal perjuangan termasuk mengkaji semula hubungan dengan DAP, sebagai golongan bermasalah.
Malah, parti itu juga mendakwa penganjuran program sedemikian satu “fenomenabiasa” menjelang pilihan raya umum.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, ada di antara mereka yang hadir merupakan ahli yang telah dipecat atas masalah disiplin dan ada yang ditolak sendiri oleh ahli-ahli Pas di bahagian masing-masing.
“Saya tidak mahu mendedahkan punca mengapa ada sebahagian daripada peserta program itu dipecat kerana tidak mahu mendedahkan aib orang lain.
“Saya tidak terkejut dengan penganjuran program seumpama itu memandangkan kita sekarang berada hampir dengan pilihan raya,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Mustafa menambah, “parti lawan akan sentiasa mencari jalan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap parti lawannya.”
“Sebenarnya, tindakan mereka itu secara tidak langsung menunjukan mereka sudah menjadi alat Umno dan pemimpin-pemimpin dalam Pas sudah faham mengeni perkara ini,” katanyalagi.
Semalam, beberapa ahli Pas Selangor telah menganjurkan satu forum bertajuk Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asaldi Kuala Lumpur. Forum itu meluluskan 11 resolusi, yang antara lain turut menyentuh mengenai hubungan Pas dengan DAP dan PKR.
Ketika diminta mengulas mengenai resolusi itu, Mustafa berkata, perkara-perkara yang disebutkan itu tidak timbul dan Pas masih menetapkan pendirian untuk terus bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Pas akan terus bersama-sama Pakatan Rakyat,” tegas beliau.
Bagaimanapun, tambah Mustafa, sekiranya mereka ingin menyampaikan cadangan itu pada Muktamar Pas yang akan berlangsung minggu depan di Kelantan, ia boleh disalurkan melalui perwakilan.
Katanya, “muktamar berhak menyampaikan apa sahaja cadangan pada muktamar nanti. Cuma saya percaya cadangan seperti itu mungkin tidak akan diterima.”
Komentar:
Pengikut kepada beberapa bekas pemimpin PAS yang dipecat atau diambil tindakan oleh parti sedang bergerak di Selangor khasnya kerana bertujuan membalas dendam kepada apa yang telah mereka terima kerana menentang parti.
Walaupun kalangan mereka ini tidak ramai tetapi sedikit sebanyak boleh menjadi pengacau kepada program parti kerana kebanyakan mereka masih menduduki beberapa jawatan penting di peringkat cawangan malah ada yang jadi AJK di JPrD dan JPrK.
Sepatutnya ada pembersihan oleh pimpinan PAS di semua peringkat untuk mengenali ahli-ahli yang bermasalah ini dari menjadi duri dalam daging ketika PAS menghadapi PRU 13.