Meskipun dalam hujan renyai, kira-kira 4,000 hadirin kini berada di tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Johor di Parit Saleh Ros, Batu Pahat.
Menurut Ketua Wanita Keadilan Johor, Natrah Ismail, kebanyakannya adalah muka baru dan datang dari kawasan sekitar, antaranya Ayer Hitam, Parit Raja dan Batu Pahat.
“Ini perkembangan positif. Sebelum ini tak pernah nampak wanita termasuk kanak-kanak seramai ini. Bermakna sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat,” katanya kepada Keadilandaily.
Sementara itu, Ketua Cabang Keadilan Seri Gading, Mohd bakri Said memaklumkan pihaknya menemui banyak poster provokasi dan lucah menyerang Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah.
“Sikap mereka tak pernah berubah. Tindakan menggantung kain rentang lucah tak menunjukkan sikap manusia yang beragama. Bila kita cabar mereka berdebat, tak berani pula,” tegasnya.
Dalam pada itu, program turut disertai beberapa NGO tuntutan rakyat antaranya, Royalti (R), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan Hak Air Untuk Semua (Haus).
Penyelaras Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syukri Razab ketika ditemui berkata, gelombang kesedaran kini mula melanda Johor, meskipun negeri ini dikatakan kubu kuat Umno-BN
“Rata-rata orang yang datang bertanya. Mereka baru sedar pemansuhan ISA hanya retorik kerana masih ada yang ditahan.
“Malah kita memberitahu pengunjung, ada tahanan ISA berasal dari Johor yang belum dibebaskan, iaitu Razali Kasan yang berasal dari Ulu Tiram.
Program Himpunan Kebangkitan Rakyat Johor dimulakan dengan kehadiran konvoi lebih 200 ahli Kelab Motosikal Altenatif (ARC).
Manakala pada sesi sebelah petang kini diadakan konsert X-Presi Anak Muda menampilkan penyanyi Ali XPDC, buskers Nik Jidan, penyair Rahmat Haron dan Amni Jagat.
Wakil-wakil NGO Bersih, Tanah, Anak, Save Pengerang, Royalti dan aktivis tempatan akan dijemput memberikan ucapan mulai jam 9.00 malam.
Manakala ceramah perdana ditapak sama menampilkan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan pemimpin Pakatan Rakyat Johor.