Tohmahan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin terhadap bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghormati lawatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim ke Indonesia baru-baru ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tulisan Zainudin Maidin bertajuk ‘Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim’ yang diterbit lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia 10 Disember lalu mensabotaj lawatan Sultan Abdul Halim yang berusaha mempererat hubungan Malaysia dengan Indonesia.
“Ini ahli tindakan ahli politik ‘dinasour’ yang tak boleh menyesuaikan diri dengan zaman. Akibat tindakan ahli politik dinosour ini, hubungan serumpun antara Malaysia dengan Indonesia terjejas,” katanya kepada Keadilandaily.
YDP Agong, Tuanku Abdul Halim dan permaisurinya, Tuanku Hajah Haminah ke Indonesia untuk lawatan rasmi selama empat hari bermula hari ini 3 hingga 6 Disember 2012.
Lawatan ke Indonesia itu adalah yang pertama semenjak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012. Baginda disambut Menteri Luar Negeri Indonesia, Marty Natalegawa dan isteri Sranya Natalegawa.
Dengan nada tegas Saifuddin berkata, tindakan Zainuddin adalah melampau, biadap dan mencerminkan bagaimana teruknya peribadi bekas menteri propaganda Umno itu.
“Ini tindakan seorang yang sangat kotor dan jijik permainan politiknya. Sehingga tanpa sedar, dia membangkitkan kegelisahan rakan penting, jiran strategik dalam Asean dan saudara seagama dan serumpun,” tegas Saifuddin.
Dalam perkembangan berkaitan, detikNews.com melaporkan, Ketua Presidium Majelis Pengurus Pusat ICMI, Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) Profesor Dr Nanat Fatah Natsir, mendesak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono membatalkan kunjungannya ke Malaysia minggu depan.
Dalam laporan detikNews.com semalam, Nanat dipetik sebagai berkata, penundaan kunjungan itu bagi menjaga perasaan rakyat Indonesia.
Katanya, tulis provokatif dikecam banyak pihak di Indonesia dan ICMI dan beliau menuntut Zainudin menarik pernyataannya dan meminta maaf kepada BJ Habibie dan rakyat Indonesia.