Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution tidak menolak kemungkinan tindakan pemimpin Umno menyakitkan hati kerajaan Indonesia dan rakyatnya sebagai tindakan sabotaj agar rakyat Malaysia berasa tidak selamat dengan ‘ancaman Indonesia’ dan kembali berlindung di bawah payung Barisan Nasional.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia dan Indonesia tidak terperangkap dengan ‘Black Ops’ (operasi hitam) pihak berkepentingan yang menunggang media dan sentimen nasionalisme sempit dengan cara dangkal untuk meraih sokongan politik.
“Tak mungkin wartawan senior yang sepatutnya tahu susur galur, sejarah dan budaya Indonesia begitu bodoh dan ego untuk membuat serangan membabi buta terhadap pemimpin Indonesia yang dihornati.
“Serangannya membabi-buta, lintang-pukang. Saya tak terkejut reaksi media dan ahli politik Indonesia dan inilah akibat yang terpaksa Malaysia hadapi, gara-gara kebiadapan (Zainuddin),” katanya kepada Keadilandaily.
Beberapa bulan lalu, Malaysia dikejutkan dengan demonstrasi rakyat Indonesia di kedutaan Malaysia di Jakarta kerana marah akibat kes rogol pembantu rumah Indonesia membabitkan tiga pegawai Polis di Pulai Pinang.
Sebelum itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Rais Yatim menyakitkan hati rakyat Indonesia apabila mempatenkan tarian Tor tor dan Gondang Sambilan, seni tarian masyarakat Indonesia sebagai warisan Malaysia.
“Inilah sikap ahli politik ‘dinosour’, kata Saifuddin merujuk sikap mundur dan pandangan ketinggalan pemimpin Umno.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengimbas kembali kenyataan bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba selepas pemecatan Anwar pada 1998 – ‘sekiranya Indonesia sayangkan Anwar, ambil dia jadi pemimpin.
“Demontrasi bantahan dibuat depan kedutaan Malaysia. Tun Ghafar terpaksa memendekkan lawatannya,” jelas Saifuddin.
Justeru, beliau berkata, adalah tugas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan untuk menolak politik kotor dan kembali menjernihkan hubungan yang dikeruhkan pemimpin Barisan Nasional.
“Jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, tugas kita adalah kembali menyemarakkan hubungan,” katanya.