Umno-BN diingatkan supaya tidak sombong menyerang Pakatan Rakyat dengan menuggang media arus perdana, kerana sejarah pernah membuktikan calon pilihan raya mereka tewas dimakan propaganda sendiri.
“Pilihan raya tahun 1969, tiap-tiap hari Utusan mainkan berita – 300 ahli Pas keluar parti. Sebulan kempen. Bila kita kira, belas ribu ahli Pas yang keluar parti.
“Habis kira macam itu, (mestilah) Pas sudah hilang deposit. Tapi bila (pilihan raya) Pengerusi Utusan (Datuk Hussien Mohd Nordin) kalah bila lawan Hashim Gera (parlimen Parit),” kata Anwar di hadapan 20,000 hadirin di ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seri ISkandar malam tadi.
Justeru tegasnya, berita yang dilapor Utusan Malaysia dan TV3 dengan menyatakan bahawa BN akan menang dua pertiga majoriti di Parlimen hanyalah keyakinan palsu untuk mententeramkan pemimpin Umno-BN.
“Mereka terajang kita tiap malam. Perhimpunan Agung Umno, empat hari empat malam sebut nama Anwar. Perhimpunan Agung Umno, sudah jadi ‘Perhimpunan Agung Anwar’.
“Rakyat dah mangli. Ini bukan tahun 50’an. Rakyat tidak ada TV. Hanya ada RTM.
“Tapi sekarang boleh tengok ‘live’ (langsung) ceramah ini dari seluruh dunia. Malam ini puluh ribu rakyat datang atas kesedaran dan mahu bangkit tuntut perubahan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar hairan apabila media Umno-BN sibuk memainkan isu bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
“Umno hanya mimpi sahaja. Mereka tak tahu muafakat dalam Pakatan Rakyat cukup mantap,” tegasnya.
Turut hadir ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalannya Mohamad Sabu dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Seng Giaw.