Selepas 55 tahun tidak terbela di bawah pentadbiran Umno-BN, Orang Kurang Upaya (OKU) akan turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 bagi menyatakan bantahan.
“Selepas 55 tahun, nasib OKU tak terbela. Warga Orang Kurang Upaya sokong Himpunan Kebangkitan Rakyat.
“Kita harap perubahan kepada Malaysia,” kata wakil OKU Bangkit, Shahmar Saad pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, hari ini.
Manakala wakil Permuafakatan Kampung Warisan (Muafakat), Ishak Surin menyeru seluruh waris tanah warisan untuk hadir memberi sokongan.
“Terlalu ramai rakyat Malaysia dari semua keturunan yang mendiami lama tempat mereka telah dihalau.
“Di Kampung Railway sudah tinggal 120 tahun dan diusir. Di Kampung Kerinchi sudah dihalau. Kita akan hadapi banyak pengusiran kalau terus biarkan si durjana berkuasa,” tegas Ishak.
Dalam pada itu wakil Anak, Nasaie .. memberitahu, satu himpunan besar-besaran akan dibuat di Wisma Felda, Jalan Semarak 28 Disember ini sebagai ‘pemanas badan’ menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat.
“Ini kerana wang KPF disuntik kepada FGVH. 28 Disember nanti kita akan duduk sampai Isa Samad turun daripada Felda.
“Ada dua lagi NGO yang akan menyertai kami, iaitu Badan Peserta Felcra dan Badan Bertindak Tanah Negeri Sabah. Anak sedang lakukan ‘Jelajah Oren’ untuk menyeru warga Felda menyertai himpunan,” kata Nasaie.
Turut hadir sidang media ialah wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Adam Adli, Zulhazmi Shariff, peguam Kempen Anti Saman Ekor (KASE) dan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edi Nor Riduan.