KEADILAN hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis segera menyiasat, menemubual dan merakam kenyataan lima individu yang terlibat dalam mengubahsuai atau memalsukan perakuan bersumpah (SD) penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Kelima-lima individu tersebut ialah Deepak Jaikishan, Datuk Nazim Razak, peguam Cecil Abraham, peguam Arulampalam selain P Balasubramaniam sendiri.
Berdasarkan pengakuan P Balasubramaniam dan Deepak, campur tangan sehingga SD tersebut diubah bersalahan dengan Seksyen 107 Kanun Keseksaan atau Seksyen 191 (bukti palsu) di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.
“Buka semula kertas siasatan. Pendedahan telah dibuat secara terbuka oleh Deepak, dan Balasubramaniam sebelum ini. SPRM dan Polis perlu siasat sebagai badan yang berintegriti,” kata Naib Presiden KEADILAN Tian Chua pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
“Memalsukan pengakuan, melibatkan kewangan salah dari segi undang-undang. Apa yang dikatakan Deepak atau Balasubramaniam, sama ada betul atau tidak, perlu disiasat. Kelima-lima orang perlu tampil.
“Dulu Bala sahaja (akui menukar SD). Mungkin apa yang dikatakannya tak betul. (Terbaru) Deepak kata menyusun (pemberian wang kepada Bala). Dua orang sudah mengaku. Tiga orang lagi perlu disiasat,” tegas Tian.
Justeru, beliau mempersoalkan mengapa Pengrusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Hademan Abdul Jalail, beriya-iya menafikan penglibatan peguam senior, Cecil Abraham yang menghentikan siasatan terhadap Balasubramaniam, seperti dalam kenyataannya semalam.
“SPRM sangat bersungguh untuk nafi, tapi tak siasat. Balasubramaniam (sebelum ini) telah buat temujanji supaya dia disiasat, tapi tak terjadi.
“Dengan pendedahan begini, dari sudut keadilan Deepak perlu disiasat, sama ada dapat insentif dari mana-mana pihak. Saya bukan penyiasat.
“Siasatlah serta-merta nama-nama yang kami sebut,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir sidang media, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.