Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melalui peguam, Mohammed Zamri Ibrahim dan Mohd Fitri Asmuni akan membantu dan menyediakan khidmat guaman percuma kepada semua mangsa saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES.
Hal itu dinyatakan oleh Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss. Katanya, pembekuan AES menandakan wujud kepincangan sistem itu dan rakyat akan menentang sehingga saman AES dimansuhkan sama sekali
“Kami mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) dan rakyat Malayisa yang sama-sama membantah perlaksanaan AES sehingga Peguam Negara terpaksa mengarahkan agar saman AES dibekukan.
“Memandangkan terdapat kepincangan di dalam perlaksanaan saman AES ini, kami menyeru kepada mana-mana individu yang telah menerima notis saman AES agar tidak membayar kompaun di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebaliknya melawan di Mahkamah.
“Bagi mangsa-mangsa saman AES yang telah menyerahkan notis saman kepada pihak kami, diminta agar hadir ke Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan walaupun perkembangan terkini menunjukkan saman-saman AES terhadap mangsa-mangsa saman AES tidak dibuat pertuduhan berikutan arahan pembekuan sementara pertuduhan di Mahkamah kerana saman tersebut masih tidak ditarik balik dan berkuatkuasa,” katanya.
Tambah Raja Ahmad, kes pertama di negeri Perak akan berlaku di Mahkamah Taiping pada 24 Disember 2012. Pasukan peguam PAS akan hadir untuk bertemu dengan beberapa mangsa saman AES yang telah mengatakan kesediaan untuk melawan di Mahkamah. Orang Kena Saman diingatkan agar hadir ke Mahkamah sepertimana yang telah ditetapkan dan membawa notis saman asal yang telah diterima