IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini sekali lagi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kelulusan sebanyak 606 hektar tanah kawasan membalak tanah kerajaan kepada tiga syarikat yang didakwa milik seorang individu.
Laporan ini berikutan pendedahan Adun Pasir Panjang, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di persidangan Dun baru-baru ini.
Koordinatornya, Salman Saleh mendakwa, lokasi tanah tersebut adalah di Mukim Belukar Semang Daerah Hutan Hulu Perak dan kelulusan dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak pada 30 November 2012.
Dakwanya, terdapat tiga kelulusan berlainan kepada tiga syarikat Tukul Besi yang berturutan nombornya iaitu 6317, 6318 & 6319 pada tarikh yang sama.
Dakwa beliau lagi, ketiga-tiga syarikat tersebut iaitu Dinamik Lafaz Sdn Bhd, Embun Kesuma Sdn Bhd dan Waja Kinrara Sdn Bhd milik seorang pemilik iaitu Jonathan Chung Jun Fun sebagai pengarahnya yang baru berumur 28 tahun.
“Setiap syarikat telah diluluskan lebih kurang 202 hektar dalam tempoh enam bulan bagi menebang semua balak-balak yang berada di situ dan jumlah keseluruhannya sebanyak 606 hektar,” katanya ketika di sidang media selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Perak, Ipoh.
Setiausaha Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, pihaknya terkejut apabila menyemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat tersebut baru didaftarkan pada tahun ini iaitu pada 5 Januari 2012; 10 Januari 2012 & 15 Februari 2012.
Syarikat tersebut dakwanya berdaftar di alamat yang sama iaitu di No. 47A, Jalan Chung Ah Ming, Pasir Puteh, Ipoh.
“Kami menggesa siasatan yang menyeluruh dan kemungkinan ada unsur-unsur salah guna kuasa dan berharap ianya berjalan dengan adil.
“Kami juga akan dedahkan berkaitan kelulusan pada 1 Oktober 2012 di bekas hutan simpan bikam, Mukim Changkat Jering, Sungkai Perak Selatan kepada tiga syarikat yang berkaitan juga,” katanya.
Sementara itu, Salman turut ditanya tentang maklum balas Menteri Besar Perak, Dato’ Dr Zambry Kadir semalam yang berang dengan tindakan PAS Perak membuat laporan SPRM berhubung Isu Rumah Perak kelmarin sehinggakan beliau berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.
Beliau menjelaskan, Dr Zambry cuba mengalih isu dan tidak menjawab dakwaan sebenar tentang pemberian projek hotel yang akan dimajukan di tapak Rumah Perak itu kepada pegawai khasnya.
“Kami menggesa agar Dr Zambry menumpukan isu sebenar iaitu pemberian projek kepada pegawai khasnya.
“Kami hairan kenapa beliau tidak menafikan dakwaan tersebut dan kami serahkan kepada SPRM membersihkan nama menteri besar itu,” tegasnya lagi.
Hadir sama ialah Jawantankuasanya, Salman Saleh dan peguam, Fitri Asmuni.