Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhamad Safwan Anang memberitahu, mahasiswa akan kembali berkhemah di Dataran Merdeka bermula petang ini sebagai solidariti kepada aktivis mahasiswa, Umar Muhammad Azmi yang dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan.
“Kami akan pergi semula ke Dataran. Kita nak sebarkan mesej hak pendidikan percuma,” katanya yang berada di Penjara Kajang sejak semalam .
“Kita akan berkumpul di Dataran sehingga Isnin untuk ke Mahkamah memfailkan rayuan Omar. Tak kira sama ada DBKL benarkan bina khemah atau tidak, kita tetap berkumpul,” jelasnya.
Dalam pada itu, Safwan kesal apabila hukuman penjara sebulan dikenakan keatas Omar, dalam masa sama, samseng ‘Jalan Kebun’ yang menyerang dan merobohkan khemas siswa dan ‘Occupy Dataran’ dibebaskan.
“Kita rasa pelik dengan kehakiman di negara ini. Penjenayah macam kes rogol, atau gangster ‘Hang Kebun’ dibebas dengan bon berkelakuan baik. Sedangkan mereka mengaku bersalah,” katanya dengan nada kecewa.
Perkhemahan siswa di depan penjara Kajang bermula semalam dengan kehadiran hampir 100 aktivis SMM dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Turut hadir memberi sokongan di hadapan Penjara Kajang ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli dan Adun Kajang, Lee Kim Sin.
Omar Mohamad, lulusan Diploma Keselamatan Industri yang kini menjalani latihan praktikal di Johor Bahru, dipenjara sebulan dan penjara RM1,000 kerana dikatakan menghalang tugas penjawat awam.