Himpunan Hijau akan turut menyertai mahasiswa dan peserta perkhemahan ‘Solidariti Untuk Omar’ di Dataran Merdeka mulai petang ini, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang.
“Kita sedang menunggu mereka. Perkhemahan dijangka bermula petang ini. Difahamkan sayap pemuda Himpunan Hijau yang akan menyertai kita,” katanya kepada Keadilandaily.
“Tujuannya untuk memberitahu kepada orang ramai yang berkunjung ke Dataran Merdeka tentang perjuangan pendidikan percuma dan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadap Omar.
“Esok kita akan beramai-ramai ke Mahkamah Jalan Duta memberi sokongan kepada Omar yang memfailkan rayuan hukuman,” jelas Safwan mengalu-alukan kehadiran mahasiswa dan orang ramai.
Sementara itu Ketua Pemuda DAPSY, Teo Kok Seong yang turut berada di Dataran pagi ini menyelar tindakan kerajaan menggunakan Akta Majlis Perbandaran Tempatan melalui DBKL bagi menyekat demokrasi dan hak berhimpun secara aman.
“Isunya tentang pendidikan. Mereka ‘Occupy’ untuk bersuara memansuhkan PTPTN. Itu cuma permintaan. Kerajaan dan Menteri patut turun mendengar. Anak muda ada idea berbeza tentang pendidikan.
“Semalam kita ada dengar pegawai penjara cuba halang perkhemahan. Nasib baik ahli majlis Kajang orang Pakatan. Kawasan itu dibawah tadbiran MPKj.
“Itu bezanya Pakatam Rakyat. DBKL yang dikuasai BN banyak sangat syarat.
Kira-kira 30 mahasiswa dan orang ramai berkhemah di depan penjara Kajang sejak Jumaat lalu dengan malam tadi diadakan acara BBQ dan nyanyian lagu protes.
Mereka turut diawasi kira-kira sepuluh anggota Unit Keselamatan Penjara (UKP) Kajang yang membuat sekatan di depan pagar dan 12 anggota polis beruniform dan preman.
Terdahulu pada sebelah petang. UKP menghalang peserta perkhemahan menggunakan masjid untuk solat sehingga mengundang rasa simpati penduduk setempat.
Sebahagian mereka turut membawakan makanan, minuman dan ubat nyamuk. Selain itu, Adun Kajang, Lee Kim Sin menaja lima set khemah baru.