Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul tidak menolak kemungkinan pendedahan Deepak menidakkan kenyataan Najib Razak yang bersumpah tidak mengenali Altantuya Sharibuu.
“Kita tak nafikan sama ada Najib kenal atau tidak. Siasatan ini yang penting. Sebab itu kita minta Deepak disiasat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana 21 Disember lalu.
Najib pada 22 Ogos 2008 melafazkan sumpah di depan jemaah Masjid Guar Perahu bahawa dia tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Najib yang ketika itu berjawatan Timbalan Perdana Menteri bersumpah: – Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Bahawasanya saya tidak terlibat dan mengenali wanita Mongolia yang dikaitkan dengan diri saya.
“Biarlah Allah menjadi saksi di dalam Masjid Guar Perahu yang mulia ini,” kata Najib disaksikan Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia ketika itu, Syed Abdul Rahman Al-Habshi.
Sumpah laknat yang dibuat Najib dalam kehangatan pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008 dijadikan bahan kempen Barisan Nasional.
Pilihan raya kecil tersebut tetap dimenangi Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim dengan majoriti 15,671.