PETALING JAYA: Golongan pemandu teksi seluruh negara disifatkan sebagai penggerak bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada orang awam tentang betapa pentingnya untuk menukar pemerintahan negara dari tangan BN kepada Pakatan Rakyat.
Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perhimpunan Raksasa Pemandu-Pemandu Teksi bersama Pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pada 27 Disember lalu di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
“Sebab itu saya ‘salute’ pemandu teksi. Mereka inilah yang menyampaikan (cerita) derita rakyat,” kata Anwar sambil menunjukkan tanda ‘tabik’ kepada 400 pemandu teksi dalam ‘Himpunan Raksasa Pemandu Teksi bersama Pakatan Rakyat’ di Dewan Svik, Petaling Jaya, malam tadi.
“Saya dipenjara di ‘Istana Hinggap’ Sungai Buloh. Saya tahu orang teksi pun benci kezaliman. Dari 1998 sampai sekarang, ketika TV3, Utusan tutup berita tentang kita (pembangkang), pemandu teksilah yang sebar cerita sebenar.
Anwar menegaskan, isu pemandu teksi bukannya perkara kecil yang selalu dipandang enteng oleh pemimpin Barisan Nasional.
“Sebab ini isu ‘human dignity’, soal maruah manusia. Untuk pemimpin Barisan Nasional, pemandu teksi seolah-olah tidak ada harga. Mereka (BN) bermatian pertahan kontrak berbilion.
“Pemandu teksi tak minta balak, IPP, kontrak. Hanya mahu permit. Permit pun mahu disapu pemimpin Umno-BN! kata Anwar disambut teriakan Reformasi.
Justeru beliau bertegas, seperti mana dalam ceramah dan perbahasan wakil Pakatan Rakyat di Parlimen, perkara utama yang akan diselesaikan sebaik menawan Putrajaya ialah mengembalikan hak pemandu teksi dengan pemberian permit.
“Sebaik kita tawan Putrajaya, kita umum harga minyak turun. Dan dalam beberapa minggu, kita umum segera permit untuk setiap pemandu teksi.” kata Anwar diselangseli sorakan hadirin.
Tambahnya, peranan pemandu teksi, meskipun bukan ahli parti-parti Pakatan Rakyat, namun tetap besar dalam perjuangan.
“Kalau tak boleh edar risalah, tak mengapa. Mungkin bahaya sebab nanti Polis periksa kereta. Tapi boleh gunakankan suara.
“Pemandu teksi adalah orang yang paling bijak dan sabar. Berpuluh penumpang setiap hari. Sebab itu kita hormat mereka kerana menjadi ejen perubahan,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh.