Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik didesak menyelesaikan isu air di Kuala Lumpur, tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selama ini dia kata ada masalah air di Selangor, (sedangkan) masalah juga besar berlaku di Wilayah Persekutuan. Ini diakibatkan kerosakan loji di Wangsa Maju.
“Harus dijawab oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Raja Nong Chik. Ini (juga) melibatkan peranan Syabas,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
“Di media Umno, ada percubaan untuk menyalahkan kerajaan negeri Selangor. Tak munasabah kalau rosak di Wangsa Maju, Menteri Besar Selangor yang salah.
“Hari ini Tan Sri Khalid mempengerusikan mesyuarat (Majlis Tindakan Kerajaan Selangor) MTES dan akan menjelaskan langkah-langkah tambahan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin yang melawat Rumah Pam Wangsa Maju hari ini mempersoalkan alasan rumah pam yang terbakar sehingga kesemuanya gagal berfungsi.
Media melaporkan, kerosakan Rumah Pam Wangsa Maju kali kedua berlaku pada 1 Januari 2013 setelah mengalami masalah kali pertama pada 29 Disember 2012.
Kerosakan juga telah berlaku di Rumah Pam Pudu Hulu Baru yang berlaku sekitar 1.30 petang pada 1 Januari 2013 disebabkan kerosakan pada papan ‘switch utama’ 11kv selepas kerja penyelenggaraan dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pencawang elektrik.
“Apakah Syabas tidak membuat penyelenggaraan yang sepatutnya untuk menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna?, soalnya.
“Pelik bila keluar di kaca TV, Syabas berkata masalah air ini boleh ditangani dengan terbinanya (loji) Langat 2. Seolah- olah ini satu permainan poltik pihak tertentu.
“Sehingga kini kami masih lagi menunggu kebenaran pihak Syabas dan Puncak Niaga untuk meninjau kawasan rumah pam secara terperinci,” katanya dipetik dari web Parlimen Ampang.