Dua keluarga kerugian hampir RM20,000 akibat disamun sekumpulan yang menyamar polis dalam kejadian di Kondominium Pelangi Indah, Jalan Ipoh, Sentul, 3 Januari lalu.
Dalam kejadian jam 9.00 pagi, itu seorang pekerja warga Indonesia, Irene Irmal, 44, dicabul manakala empat telefon bimbit, jam tangan Rado, kamera digital dan wang tunai RM 900 dilarikan.
“Pasport saya dipegang. Kemudian seorang lelaki minta saya buka seluar. Kemudian saya dicabul. Lelaki itu kata mahu bawa ke balai, tapi dibawa ke rumah sebelah,” katanya
Sementara itu, Tan Sook Kuin, 29, memberitahu, lima lelaki dan seorang wanita mengetuk pintu rumahnya dengan alasan pemeriksaan dan operasi.
“Tapi mereka masuk ke dalam bilik. Ambil sepuluh telefon bimbit, enam bentuk cincin, dua buah iPad, laptop dan duit termasuk milik ayah dan ibu saya.
“Kemudian mereka minta kad dan nombor pin CIMB dan Maybank. Mereka keluar rumah keluarkan wang dan datang semula kerumah,” katanya memaklumkan kejadian tersebut berlaku selama tiga jam.
Menurut Tan, ‘polis’ tersebut kelihatan profesional, lengkap bergari dan mempunyai walkie-talkie.
Justeru, ahli parlimen Batu, Tian Chua yang bersama dalam sidang media memaklumkan akan bertemu Ketua Polis Daerah Sentul, bagi membincangkan isu keselamatan dan jenayah di kawasan tersebut.
“Kadar jenayah naik mendadak. Bukan sahaja di kawasan Sentul atau Lembah Klang, tapi diseluruh negara. Mana inisiatif PDRM mengurangkan kadar jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)?
“Kejadian ini menunjukkan penjenayah semakin berani, secaa terbuka dan di siang hari melakukan jenayah. Kita khuatir hal ini berterusan tanpa pencegahan,” kata Tian.