Wanita Pakatan Rakyat menyokong Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) KL112 dan mambawa enam tuntutan pada himpunan yang akan diadakan di Stadium Merdeka 12 Januari ini.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, enam tuntutan tersebut ialah sebuah kerajaan yang bersih dari rasuah, gaji yang berpatutan kepada golongan wanita dan kualiti hidup yang lebih baik.
“Wanita Pakatan juga menentang keganasan terhadap wanita, memansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Haniza memaklumkan, wanita Pakatan Rakyat akan berkumpul di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada jam 2 petang
menggunakan warna tema ungu sebelum berarak ke Stadium Merdeka.
“Dari wanita KEADILAN Selangor sahaja, kita mensasarkan 5,000 ahli. Tak termasuk dari negeri lain. Kita jangkakan ribuan akan turun.
“Jadi, kita seru kepada wanita-wanita lain, yang tidak berparti, yang bukan ahli NGO untuk turut bersama. Sasaran kita ialah satu juta,” katanya
Sementara itu, ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching menegaskan, HKR 112 adalah masa kepada golongan wanita dinegara membantah dasar ekonomi dan sosial negara yang tidak berpihak kepada golongan wanita.
“Saya menyeru golongan wanita muda, profesional dan kaum ibu untuk bersama bersolidariti dalam HKR 112,” katanya.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Malaysia (Empower) Maria Chin dan ahli parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.