Konsep “plea bargaining” atau rundingan bagi pengakuan bersalah dalam kes-kes jenayah dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun tidak semua kes jenayah akan ditawarkan untuk diselesaikan melalui rundingan bagi pengakuan bersalah.
Adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kes-kes yang boleh diselesaikan melalui rundingan bagi pengakuan bersalah, katanya.
“Ini bukan bermakna apabila anda minta pengurangan dalam pertuduhan atau rundingan bagi pengakuan bersalah, kami akan terus bersetuju… tidak,” kata Abdul Gani semasa berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2011 yang dianjurkan badan kehakiman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau berkata, sekiranya pihak pendakwa raya berpendapat yang mereka mempunyai kes yang kukuh, pihak pendakwa raya akan meneruskan perbicaraan penuh bagi kes itu dan tidak akan menawarkan rundingan bagi pengakuan bersalah.
Abdul Gani berkata, kes tertentu seperti pengedaran dadah yang pihak pendakwa raya berpendapat mungkin sukar untuk disabitkan dan membazirkan masa jika dibicarakan atau akan menghadapi masalah tertentu, pihak pendakwa raya mungkin menimbangkan untuk menyelesaikan kes menerusi rundingan bagi pengakuan bersalah.
– Bernama