Mulai jam 3.00 petang, ribuan aktivis NGO, ahli parti politik dan penyokong Pakatan Rakyat kelihatan memasuki Kuala Lumpur.
Malah ada yang tiba sejak awal pagi. Mereka menyewa hotel di Kuala Lumpur dan tidak kurang yang menumpang di rumah kawan-kawan. Diberitakan penyokong Pakatan dari Pahang telah bergerak sebelum solat jumaat lagi.
Penyokong dari Pantai Timur dilaporkan mula tiba di Gombak dari lebuhraya Karak selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke perhimpunan pemanas badan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu yang akan berlangsung mulai jam 8.00 malam ini.
Penyokong dari arah Utara dan Selatan juga sebahagiannya telah tiba untuk sama-sama menyatakan kebencian terhadap sistem pilihan raya yang tidak adil pada himpunan 12 Januari, esok.
Sementara itu, pasukan penerangan kerajaan Selangor mengadakan kempen besar-besaran di seluruh negeri dengan van pembesar suara menggesa rakyat Selangor turun ke Kampung Baharu mala mini dan ke Stadium Merdeka esok hari bagi merealisasikan hasrat 300,000 penyokong dari Selangor.
Pakatan Perak pula menjanjikan 100,000 penyokong. Dijangkakan sekurang-kurangnya 300,000 penyokong akan membanjiri Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari esok, menyamai rekod Bersih 3.0 pada 28 April 2012.
Terdapat beberapa dakwaan kemungkinan polis akan mengadakan sekatan jalan bagi peserta yang berarak ketika jalan menuju ke Stadium Merdeka telah sesak. Sekatan berkemungkinan menyebabkan berlaku keganasan sekiranya peserta yang berarak diprovokasi.