Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 adalah simbol kemerdekaan yang kedua dari cengkaman Umno-BN.
“Rakyat mesti berani. Kalau kita berani berhimpun di Stadium Merdeka yang telah mengisytiharkan kemerdekaan (yang pertama), mari kita isytiharkan kemerdekaan yang kedua,” katanya disambut laungan takbir.
“Pulang ke tempat masing-masing dengan semangat. Buat kerja dengan rajin. Insya Allah mampu ubah,” kata Ahli Parlimen Marang itu dihadapan ratusan ribu hadirin di Stadium Merdeka.
“Kita kena berani. Barisan Nasional bukannya hantu, manusia macam kita juga,” katanya menyeru seluruh rakyat Malaysia berani bangkit melakukan perubahan sambil membacakan serangkap pantun.
“Melukut ditepi gantang, buka sabut cari kutu. Orang takut akal hilang, jumpa tunggul dikata hantu,” kata Hadi.
Dalam pada itu, tegas Hadi, Pas berjuang di dalam Pakatan Rakyat atas dasar menegakkan hak, menentang kezaliman penguasa dan menegakkan keadilan.
“Kita bersatu dalam perkara yang sama, saling mengerti dalam perkara yang berbeza,” kata Hadi, menegaskan perbezaan pandangan adalah kepelbagaian yang wajar diraikan.
Tambahnya, kerajaan Pusat yang ditadbir Umno-BN tidak menghormati perlembagaan persekutuan dan semangat federalisme apabila menafikan hak-hak negeri seperti isu royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak.
“Pulau Pinang, 50 tahun jadi ‘Pulau Pening’ dibawah Barisan Nasional. Bila kita dapat baru dapat urus secara baik. Di Selangor kita boleh buat (skim) air percuma. Mereka 50 tahun buat apa?, soal Hadi.
“Yang terakhir, mereka nafikan hak royalti minyak terhadap negeri Kelantan. Sedangkan di Kelantan sendiri ada pemimpin-pemimpin MCA yang mendapat biasiswa pendidikan kerajaan negeri,” kata Hadi yang tidak menamakan ahli politik tersebut kerana menghormati haknya.