Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) Amran Jan berkata, kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memberikan permit teksi kepada setiap pemandu hanya retorik.
“Alasan Syed Hamid Albar ialah, SPAD perlu meneliti pengeluaran permit individu kerana ‘pengusaha teksi menyatakan kebimbangan mereka’.
“Bermakna, pengusaha teksi perlu diutamakan. Pemandu kekal sebagai ‘bukan sesiapa dalam industri,” kata Amran
Katanya, satu pertemuan antara Syed Hamid dengan pemandu teksi diadakan di KL Sentral, 21 Januari lalu, kononnya taklimat tentang model baru pentadbiran SPAD.
Pada 27 Jun 2012, Syed Hamid berkata model baru pemberian permit individu tidak menjejaskan pengusaha teksi,
Manakala Menteri di JPM, Ahmad Maslan di Parlimen pada 24 Oktober mengatakan bahawa SPAD akan menarik semula 6,602 STK (surat tawaran kelulusan) permit untuk diberi kepada individu yang sedang memajak teksi dari pengusaha.
“Namun jangkaan pemandu teksi yang ternanti untuk memiliki permit individu menjadi hancur berkecai.
“Walaupun tak dijemput, BBPTB dihujani rungutan rakan-rakan. Mungkin Pengerusi SPAD anggap semua janji itu merupakan ‘janji yang tak perlu ditepati’,” kata Amran.
“Yang penting dalam industri teksi adalah pengusaha teksi sahaja. Kebajikan pemandu teksi cukup sekadar janji manis, jamuan makan, sedekah payung serta topi pada majlis setahun sekali itu,” kata Amran.
“79,000 lagi pemandu teksi di luar sana sedang memerhati apa yang sedang dan sudah SPAD lakukan terhadap industri ini.
“Pengerusi SPAD sekarang tidak boleh diharap, selain dari terus menjadikan pemandu sebagai korban penghambaan moden,” kata Amran.